Pengguna Masih Boleh Beli Juadah Berbuka Nasi Berlauk Serendah Rm5
ARAU, 13 Mac (Bernama) -- Pengguna di Perlis masih mempunyai pilihan membeli juadah berbuka puasa seperti nasi berlauk di bazar Ramadan pada harga berpatutan serendah RM5 sebungkus menerusi Menu RAHMAH MADANI yang ditawarkan oleh peniaga.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Norazah Jaapar berkata setakat ini, terdapat 46 peniaga bazar Ramadan yang mengambil menawarkan menu itu kepada pengguna.
“Di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, terdapat 33 peniaga yang mengambil bahagian menawarkan menu RAHMAH MADANI kepada pengguna dan di Arau, setakat ini sebanyak 13 peniaga yang menyertai Menu RAHMAH MADANI ini.
“Saya harap peniaga yang ingin menyertai Menu RAHMAH MADANI ini boleh berhubung dengan Pejabat KPDN Perlis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan RAHMAH MADANI di sini hari ini.
Norazah juga tidak menafikan terdapat sedikit kenaikan harga jualan bagi makanan tertentu namun ia tidak ketara seperti ayam golek yang meningkat RM1 seekor.
‘Pengguna masih boleh memilih banyak lagi menu yang harganya berpatutan dan bersesuaian dengan kemampuan mereka… KPDN Perlis setiap tahun buat pemantauan dan mendapati masih ada peniaga yang mengekalkan harga seperti sebelumnya,” kata beliau.
Norazah berkata pihaknya turut memfokus kepada pemantauan dan penguatkuasaan di pasar awam termasuk pasar basah dan pasar pagi, pasar raya serta kedai peruncitan serta jualan dalam talian selain bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri menerusi Op Pantau 2024.
“Sehubungan itu, pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap akan dilaksanakan dan bersasar ke atas harga barang khasnya barangan keperluan seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barangan basah dan bahan membuat kuih,” katanya.
-- BERNAMA