Bazar Ramadan Mesra Alam Akan Diperluaskan Di Seluruh Pbt Di Perak
IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan mesra alam yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kini masuk tahun kedua, akan diperluaskan ke Bazar Ramadan seluruh negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata kerajaan negeri akan terus memperkasakan konsep itu, selepas kejayaan yang dilakukan MBI pada tahun lalu.
Beliau berkata konsep ini akan diperluaskan di Bazar Ramadan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menekankan pengguna membawa bekas makanan sendiri, manakala peniaga digalakkan menggunakan bekas makanan biodegradasi (mudah terurai).
“Pada tahun lalu, bagi program kitar semual minyak terpakai lebih 491.58 kilogram minyak berjaya dikumpulkan, melibatkan nilai RM1,474.74 sepanjang Ramadan tahun lalu, manakala untuk sepanjang tahun pula lebih 230 metrik tan berjaya dikumpulkan dengan nilai RM5,640.
“Malah saya difahamkan syarikat yang dilantik ini sedang berusaha mengadakan kerjasama dengan PBT lain, untuk menggerakkan kempen dan memastikan agenda perubahan dapat dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Stadium Perak dekat sini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Sandrea berkata kempen kesedaran akan diteruskan termasuk projek MYSaveFood Ramadan juga merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan di Bazar Ramadan secara berstrategi, melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman.
“Makanan yang diselamatkan adalah yang masih elok dan sesuai untuk dimakan atau diminum, akan diambil oleh Pemuda Gema Perak sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Kempen ini untuk membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan yang efektif di bazar Ramadan, dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan,” katanya.
Sandrea berkata hasil tinjauan di bazar itu juga turut mendapati kebanyakan pengguna sudah beralih menggunakan e-dompet dan ia menunjukkan trend perubahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.
-- BERNAMA