Ramadan: Kpkt Santuni Petugas Media, Agih Juadah Berbuka

14/03/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan kempen Sentuhan Kasih Ramadan KPKT tahun ini dengan menyantuni petugas media menerusi sumbangan juadah berbuka puasa.

Setiausaha Bahagian Kewangan dan Perolehan KPKT Zulkeflee Sulaiman berkata agihan sumbangan juadah itu juga sebagai tanda penghargaan kepada petugas media yang banyak membantu kementerian melaksanakan dasar dan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata program seumpama itu mampu mengeratkan lagi jalinan kerjasama strategik KPKT dengan agensi media di negara ini.

“Kempen ini berupa agihan juadah berbuka. Kita faham dalam kesibukan tugas pengamal media, mereka mungkin tidak sempat untuk membeli juadah berbuka di samping program ini adalah sebahagian daripada usaha KPKT untuk menghargai sumbangan rakan-rakan media.

“Bagi tahun ini, jumlah agihan juadah berbuka meningkat kepada 1,100 pengamal media melibatkan tujuh agensi media dan pada hari ini kita menyediakan 200 bungkusan juadah kepada warga Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia),” katanya pada majlis agihan sumbangan juadah berbuka Sentuhan Kasih Ramadan KPKT 2024 di Wisma Bernama di sini hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Ketua TV, Bahagian Penyiaran TV dan Radio Nor Hamzeela Md Hambali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Murali Jayabalan.

-- BERNAMA