Peniaga Di Bazar Ramadan Labuan Komited Jalankan Perniagaan Beretika

14/03/2024 07:30 PM

LABUAN, 14 Mac (Bernama) -- Peniaga di 241 bazar Ramadan di Labuan komited untuk mengamalkan perniagaan yang beretika dengan mematuhi peraturan yang terkandung dalam lesen mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati semua peniaga mengekalkan standard kebersihan dan mempunyai sijil kesihatan yang sah.

"Kami telah melakukan pemeriksaan mengejut di semua tapak bazar dan mendapati peniaga dan penjaja mematuhi peraturan ditetapkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata PL meluluskan pembukaan empat tapak bazar iaitu Pantai Taman Damai di Kampung Layang-Layangan, Ujana Kewangan, tempat letak kereta di Menara Pentadbiran Kolej Matrikulasi Labuan dan Kampung Patau-Patau 2.

"Penting untuk semua peniaga dan penjaja makanan mematuhi peraturan keselamatan makanan sepanjang bazar beroperasi. Kami tidak mahu menerima aduan mengenai keracunan makanan atau harga melampau," katanya.

Rithuan berkata pasukan penguat kuasa PL akan ditempatkan di setiap tapak bazar setiap hari untuk memantau operasi perniagaan dan memastikan semua peniaga mematuhi peraturan.

-- BERNAMA