Pkns Belanja Rm40,700 Untuk Agihan Bubur Lambuk Percuma

14/03/2024 08:42 PM

SHAH ALAM, 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan sebanyak RM40,700 bagi menyediakan 5,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan secara percuma kepada petugas dan orang ramai sempena Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata agihan bubur lambuk dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan itu menyantuni masyarakat di bawah Program Ramadan Kasih PKNS.

"Selain hari ini, semua bubur lambuk ini akan diagihkan kepada orang ramai dan petugas PKNS mengikut pecahan tertentu dalam sesi agihan akan datang pada 19 Mac.

“Untuk hari ini, sebanyak 1,000 bekas diedarkan kepada petugas perbadanan manakala 500 lagi diberikan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita semasa pelancaran Bubur Lambuk Ramadan Kasih PKNS di sini hari ini.

Suhaimi berkata tradisi mengagihkan bubur lambuk itu diadakan sejak lebih dua dekad sebagai aktiviti tahunan pada Ramadan dengan Koperasi PKNS Berhad diberi tanggungjawab untuk menyelaras edaran berkenaan.

Beliau berkata edaran bubur lambuk itu sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat awam, terutamanya pengunjung Kompleks PKNS yang menjadikan pusat beli-belah itu sebagai lokasi pilihan bagi mendapatkan keperluan hari raya.  

Pada program sama, perbadanan itu turut menyerahkan sumbangan Bekal Ramadan Kasih PKNS berupa keperluan asas seperti minyak masak, beras, gula, sardin dan kicap kepada 65 keluarga dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan daripada Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM).

Suhaimi berkata tiga lagi siri inisiatif CSR di bawah Program Ramadan Kasih PKNS akan dilaksanakan iaitu Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim/Miskin Daerah Sabak Bernam (UKHUWAH) bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 17 Mac ini.

Ia disusuli dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Gelandangan pada 18 Mac dan Majlis Berbuka Puasa Bersama PKNS bagi meraikan anak-anak UKHUWAH dua hari kemudian, masing-masing bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Program seumpama ini, katanya memberi peluang kepada PKNS menyantuni dan berkongsi rezeki dengan pelbagai lapisan masyarakat terutama mereka yang kurang bernasib baik.

-- BERNAMA