Jkn Sabah Keluar 31 Notis Kepada Peniaga Bazar Ramadan Setakat Semalam

15/03/2024 07:14 PM

KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengeluarkan 31 notis kompaun berjumlah RM3,700 kepada pengendali makanan bazar Ramadan di negeri ini sejak Selasa lepas hingga semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Asits Sanna berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 240 gerai di bazar Ramadan di 105 lokasi di seluruh Sabah.

“Dalam tempoh tiga hari itu, daerah Tawau mencatatkan pengeluaran jumlah notis tertinggi sebanyak 18 notis diikuti Keningau lapan notis dan selebihnya di lokasi lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 31 notis berkenaan, 13 dikeluarkan atas kesalahan pakaian pengendali makanan iaitu tidak memakai apron, kasut dan penutup kepala.

Kesalahan lain ialah menggaji pekerja tiada latihan pengendali makanan dan suntikan antitifoid, pekerja tiada sijil latihan pengendali makanan dan pengendali makanan memakai perhiasan diri.

Menurut Dr Asits pada tahun lepas 65 kes keracunan makanan telah dilaporkan, namun bukan berpunca daripada bazar Ramadan.

“Setakat ini, tiada aduan atau kes keracunan makanan dilaporkan dan diharapkan keadaan ini kekal seperti tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA