Kuih Piana Air Tangan Nor Asmida Laku 'keras'

16/03/2024 04:46 PM

GUA MUSANG, 16 Mac (Bernama) -- Kewujudan pelbagai kuih moden dengan dekorasi lebih menarik pada masa ini tidak sekalipun menggugat perniagaan kuih tradisional diusahakan sepasang suami isteri di Taman Wangi, di sini, lebih 10 tahun lepas.

Kuih piana atau akok bunga yang berlandaskan resipi tradisional turun-temurun itu mampu bertahan sehingga kini tanpa perlu banyak pengubahsuaian adunannya.

Peniaga nasi kukus, Nor Asmida Arif, 33, berkata tiada bahan istimewa digunakan untuk membuat kuih piana sebaliknya hanya menggunakan bahan asas seperti telur, daun pandan, gula dan santan. 

Menurut Nor Asmida dia mempelajari cara pembuatan kuih itu daripada ibu mentuanya, Rosenani Hamzah, 64, dan menampung pendapatan harian berikutan gerai nasi kukusnya tidak beroperasi sepanjang Ramadan.

“Kuih piana ini mendapat sambutan luar biasa dan setiap hari kami akan menghasilkan sebanyak 250 biji. Kami tidak menang tangan dalam memenuhi tempahan pelanggan, selain memiliki hanya sebuah ketuhar untuk membakar kuih ini,” katanya kepada pemberita di Taman Wangi di sini hari ini. 

Nor Asmida yang berasal dari Tumpat berkata dia menggunakan lebih 400 biji telur dan 15 kilogram santan sehari untuk menghasilkan kuih berkenaan.

“Pembuatan dimulakan dengan membasuh dan memecahkan telur, disusuli mencuci dan memotong daun pandan yang agak memakan masa.

“Selain itu, santan segar juga perlu dipantau dengan teliti kerana hanya bertahan selama 30 minit di luar peti sejuk,” katanya. 

Suami Nor Asmida, Mohd Hafiz Mohd Nasir, 37, pula berkata penjagaan suhu ketuhar sepanjang tempoh pembakaran penting untuk memastikan piana masak sekata.

Mohd Hafiz berkata mereka mampu membakar 12 biji piana dalam tempoh 20 hingga 25 minit setiap sesi. 

“Kami mula membakar pada 10 pagi dan selesai memenuhi semua tempahan sekitar 7 malam. Penggunaan ketuhar membuatkan pembakaran lebih cepat berbanding dapur arang,” katanya. 

-- BERNAMA