Ponteng Puasa, Enam Lelaki Ditahan Jaim

16/03/2024 05:11 PM

MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Keadaan cuaca panas antara alasan diberikan beberapa individu beragama Islam yang ditahan kerana makan di tempat terbuka serta ponteng puasa pada Ramadan ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Rahmad Mariman. 

Beliau berkata sejak 1 Ramadan hingga semalam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 20 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

"Kesemuanya yang berusia antara 20 dan 60 tahun ditahan secara berasingan menerusi Op Cegah Jenayah Syariah di sekitar Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, serta diberikan Surat Perintah Hadir ke JAIM untuk tindakan selanjutnya. 

"JAIM akan meneruskan operasi ini termasuk mengambil tindakan terhadap penjual makanan yang tidak menghormati Ramadan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di empat premis menjual makanan di sekitar Melaka Tengah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim. 

Pada operasi hari ini, seorang buruh binaan turut diberikan Surat Perintah Hadir apabila didapati berada di dalam restoran mamak di Ayer Keroh, dengan alasan dua bungkus air yang didapati bersamanya adalah untuk rakannya yang bekerja tidak jauh dari restoran itu.

Dalam pada itu, Rahmad berkata JAIM kerap menerima aduan berkaitan segelintir umat Islam yang makan, minum atau merokok secara terbuka di tempat awam pada Ramadan ini, malah terdapat peniaga, restoran pandu lalu serta penghantar makanan yang bersubahat dengan perbuatan seumpama itu. 

"Sempena menjayakan kempen Hormati Bulan Ramadan dan Bulan Pelancongan Agama Tahun Melawat Melaka 2024, Bahagian Penguat Kuasa JAIM akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan menjalankan operasi, siasatan dan pencegahan kesalahan syariah,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 96 individu ditahan sepanjang Ramadan menerusi Op Cegah Jenayah Syariah berbanding 41 orang pada 2022. 

-- BERNAMA