Penangan 'arnab Terbang Terbakar' Sharul

17/03/2024 09:50 AM

IPOH, 17 Mac (Bernama) -- Niat membantu perniagaan rakan dalam perusahaan arnab pedaging mendorong Sharul Shanizam Abd Rahman, 33, menjual hidangan berasaskan ternakan itu di Bazar Ramadan Stadium Perak, dekat sini.

Pemuda kelahiran Ipoh itu berkata dia sememangnya tidak menyangka menu dinamakan ‘Arnab Terbang Terbakar’ itu, mendapat permintaan cukup baik daripada pelanggan yang berkunjung ke bazar berkenaan.

“Asalnya niat memang nak tolong kawan, kerana perniagaan arnab pedaging yang dijalankan di Behrang kurang mendapat permintaan. Jadi di situ, timbul idea untuk membantu dan pada masa yang sama menjana pendapatan buat saya.

“Alhamdulillah, permintaan cukup menggalakkan dan untuk tahun lepas sahaja kami berjaya jual sebanyak 10,000 ekor arnab bakar di bazar ini. Para pelanggan juga bukan hanya datang dari orang Melayu malah ada dalam kalangan kaum Cina yang datang membeli,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata tahun ini dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya 200 ekor arnab setiap hari, bagi memenuhi permintaan para pelanggannya.

Tambahnya harga ditawarkan bermula dari RM15 hingga RM65 bergantung kepada saiz atau bahagian yang dimahukan pelanggan.

“Untuk RM15 kita jual suku bahagian, kalau RM35 untuk separuh bahagian dan RM65 untuk seekor.  Setiap hidangan yang dijual turut disertakan air asam atau sos lada hitam sebagai pencicah, manakala nasi kukus pula diberikan secara percuma,” katanya.

Bercerita proses menyiapkan juadah itu, Sharul berkata arnab berkenaan akan disalai terlebih dahulu sebelum dipanggang, bagi memastikan isinya masak dan memperoleh tekstur daging yang lembut serta sedap dimakan.

“Untuk proses salai kita ambil masa lebih sejam. Ini penting bagi memastikan daging arnab itu tidak hangus. Kemudiannya kita akan panggang selama 10 minit untuk memberikan rasa garing pada bahagian luar kulit arnab tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya daging arnab menawarkan bermanfaat antaranya tidak memiliki lemak dan mengandungi protein yang tinggi.

“Isinya lebih manis dan seakan-akan kita merasai daging ayam kampung. Tekstur dagingnya juga lebih kenyal dan tidak berbau hanyir,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan Mohd Suffian Mat Noor, 28, berkata dia telah ‘jatuh cinta’ selepas pertama kali merasai kenikmatan daging arnab bakar, yang dijual oleh Sharul pada tahun lalu.

Beliau berkata sejak itu, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan juadah berkenaan terutama apabila mengunjungi bazar tersebut.

“Sebelum ini, tak pernah terlintas pun nak makan daging arnab, tetapi bila lihat ramai orang datang ke gerai ini untuk beli, tergerak hati untuk merasainya.

“Bagi saya, rasa daging arnab yang dijual di sini memang sedap, ditambah dengan aroma salai yang terdapat pada daging tersebut, membuatkan saya datang lagi ke sini untuk membeli,” katanya.

-- BERNAMA