Kpdn Tidak Bercadang Kenakan Harga Siling Terhadap Sayur - Fuziah
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tidak bercadang mengenakan sekatan atau harga siling bagi penjualan sayur-sayuran susulan jangkaan kenaikan harganya di pasaran sehingga 25 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pihaknya akan memantau serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang pencatutan jika terdapat peniaga yang bertindak menaikkan harga secara melampau.
“KPDN tidak mengenakan sekatan atau harga siling tapi kita akan pantau supaya tidak berlaku pencatutan.
"Kita kena faham rantaian bekalan bermula daripada penanam sayur, kos pengeluaran pekebun, pengangkutan selain harga borong dan runcit,” katanya kepada media ketika mengulas jangkaan kenaikan harga sayur-sayur sehingga 25 peratus berikutan dakwaan pengusaha ladang yang berdepan kekurangan pekerja asing sehingga menjejaskan bekalan.
Terdahulu, beliau melancarkan Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan semasa meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Jalan Raja Alang di sini.
Mengulas penganjuran MySaveFood, Fuziah berkata sebanyak 75 bazar di 11 negeri termasuk Wilayah Persekutuan terlibat dalam projek itu yang turut digerakkan oleh Pengguna Siswa dari 35 universiti termasuk 19 universiti awam.
“Melalui projek MySaveFood pada tahun lepas, sebanyak 25 tan makanan dengan nilai RM281,429.01 berjaya diselamatkan dan Majlis Bandaraya Shah Alam sahaja, pada hari pertama Ramadan, berjaya mengumpul sebanyak 429.8 kilogram (kg) makanan dari tiga bazar Ramadan manakala di Kampong Bharu, sebanyak 426.4kg makanan berjaya diselamatkan,” katanya.
-- BERNAMA