Cimb Sumbang Juadah Berbuka Puasa Kepada Petugas Bernama

19/03/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- CIMB Bank Berhad hari ini menzahirkan penghargaan dengan menyumbangkan 450 pek makanan untuk berbuka puasa kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini.

Ketua Serantau Kumpulan Komunikasi Korporat (Kumpulan Penjenamaan dan Pemasaran) CIMB Tammy Toh berkata pemberian pek makanan itu, merupakan acara tahunan CIMB pada setiap Ramadan.

“CIMB dengan rasa bangganya dapat datang ke sini untuk mengedarkan pek makanan Ramadan kerana Bernama sentiasa menyokong semua program kami dan kami amat berterima kasih… kami ucapkan selamat berbuka puasa kepada semua petugas Bernama,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan CIMB Bank Berhad terhadap petugas Bernama, melalui sumbangan yang diberikan ini.

“Kami menganggap ini sebagai satu tanda daripada CIMB, yang prihatin kepada suasana Ramadan yang sedang kita jalani sekarang dan mengambil kira ini, warga Bernama tidaklah perlu bergegas mencari lauk-pauk dengan adanya sumbangan pek berbuka puasa ini,” katanya.

-- BERNAMA