Amanahraya Agih 800 Set Bubur Lambuk Menerusi Rezeki Ramadan 1445h

20/03/2024 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) meneruskan tradisi mengambil keberkatan Ramadan dengan berkongsi rezeki menerusi pengagihan 800 set bubur lambuk dan air mineral kepada pelanggan yang berkunjung ke ibu pejabatnya dan cawangan Kuala Lumpur.

AmanahRaya dalam satu kenyataan memaklumkan edaran melalui kaedah pandu lalu itu turut diberikan kepada orang ramai yang menggunakan Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata program Rezeki Ramadan 1445H itu merupakan sebahagian inisiatif dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menjadi platform komunikasi antara AmanahRaya dan masyarakat.

“Kami percaya ia merupakan inisiatif terbaik yang perlu dicontohi semua pihak bagi mendekati masyarakat selaras dengan konsep Malaysia MADANI iaitu melahirkan masyarakat penyayang dan ambil peduli,” katanya.

Beliau berkata agihan bubur lambuk yang bermula pada 4 petang itu turut dihadiri barisan pengurusan bersama lebih 100 pegawai Kumpulan AmanahRaya.

-- BERNAMA