Elmu Agih 450 Bekas Bubur Lambuk Kepada Petugas Bernama
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Enforcement, Leadership & Management University (ELMU) mengambil keberkatan Ramadan dengan berkongsi rezeki menerusi pengagihan 450 bekas bubur lambuk kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pemegang Amanah Yayasan Elmu dan Naib Canselor ELMU Datuk Dr Kassim Noor Mohamed berkata program ini merupakan sebahagian inisiatif dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kami memilih untuk berkongsi rezeki bersama Bernama kerana agensi ini sentiasa memberikan liputan yang terbaik termasuklah dari segi hubungan sesama petugas di sini.
“Bernama sentiasa menjadi lambang berita, tiada siapa yang boleh menafikan kredibiliti organisasi ini,” katanya pada program Sumbangan Pek Juadah Berbuka Puasa di Wisma Bernama di sini hari ini.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.
Dalam pada itu, Kassim berkata ELMU akan meneruskan sekurang-kurangnya 12 program perkongsian rezeki sepanjang bulan Ramadan ini.
-- BERNAMA