Pulau Pinang Diharap Bantu Perda Dirikan Banyak Kilang, Premis Produk Halal
NIBONG TEBAL, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan berharap kerajaan Pulau Pinang membantu Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA) untuk mendirikan lebih banyak kilang dan premis yang mengeluarkan produk halal di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan infrastruktur Pulau Pinang sangat baik dan penerokaan pasaran luar negara juga semakin bertambah, sekali gus mempunyai potensi untuk mengembangkan industri halal di Pulau Mutiara itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata saiz pasaran halal dunia kian berkembang dengan mencapai US$3 trilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada US$5 trilion pada 2030.
“Tahun ini, RM32 juta tambahan peruntukan telah diberikan (PERDA) kerana Pelabuhan Pulau Pinang menjadi pelabuhan penting untuk pengeksportan produk-produk halal.
“Setakat ini, paling banyak produk halal datang dari Thailand, kita mahu produk halal ini dari Malaysia (lebih) banyak lagi kerana permintaannya besar terutama dari negara-negara Timur Tengah,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Al-Amin Simpang Tiga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata bahawa produk halal bukan hanya melibatkan industri makanan, sebaliknya turut meliputi produk farmaseutikal dan kosmetik yang juga mendapat permintaan tinggi pasaran antarabangsa.
“Apa yang dilakukan oleh PERDA sejajar dengan perancangan Majlis Halal Malaysia untuk kita selaraskan aktiviti ini di seluruh negeri. Saya juga akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Halal Industrial Parks di Pulau Pinang,” katanya.
PERDA berjaya membangunkan Kompleks PERDA Halal Park di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara yang kini menempatkan 22 unit kilang.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan kerajaan negeri perlu berjalan seiring dengan kerajaan Persekutuan dengan mengetepikan soal remeh-temeh yang dihadapi sebelum ini bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau turut membidas segelintir kerajaan negeri yang mahukan peruntukan wang tetapi tidak "mesra alam" dengan agensi Persekutuan yang menyalurkan bantuan berkenaan meskipun dalam soal bencana.
“Wang daripada Bencana Negara ini mahu diterima atau diminta oleh kerajaan negeri tetapi soal pengagihan kepada mangsa-mangsa banjir pun tidak dilakukan secara adil,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menghargai komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana membantu projek-projek PERDA dan menyifatkannya sebagai nikmat yang dikecapi apabila parti politik "tidak bercakaran" lagi.
Pada majlis itu, Bantuan Ramadan turut diagihkan kepada 50 asnaf, 50 anak yatim dan 100 pelajar tahfiz dalam menjalani ibadah sepanjang bulan mulia ini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
-- BERNAMA