Pkns Sumbang Rm100,000 Kepada Pertubuhan Ukhuwah, Tampung Kos Baik Pulih Asrama
SHAH ALAM, 20 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim/Miskin Daerah Sabak Bernam (Ukhuwah) bagi membaik pulih bangunan asrama rumah kebajikan tersebut.
Sumbangan antara lain bagi pembelian keperluan anak-anak di rumah kebajikan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim bagi pihak PKNS kepada Penyelia Ukhuwah Rosnah Mohamed Razalli.
PKNS dalam kenyataan media memaklumkan sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik termasuklah anak yatim.
Ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen PKNS untuk menyumbang kembali kepada masyarakat khususnya dalam bulan Ramadan ini, menurut kenyataan itu.
Pada majlis itu, seramai 45 anak-anak dari Pertubuhan Ukhuwah menerima sumbangan duit raya selain diserikan dengan tazkirah ‘Ramadan Bulan Madrasah’ oleh penceramah terkenal Ustaz Haslin Bollywood.
Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu turut dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah, Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon dan hampir 500 kakitangan PKNS.
-- BERNAMA