Empat Pelajar Sekolah Menengah Ditahan Dalam Op Samseng Jalanan Di Pasir Puteh

21/03/2024 02:59 PM

PASIR PUTEH, 21 Mac (Bernama) -- Polis menahan empat pelajar di sebuah sekolah menengah berusia 15 hingga 18 tahun dalam Op Samseng Jalanan dekat Jalan Pintasan Pasir Puteh-Tok Bali, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata operasi selama lapan jam bermula pukul 4 petang itu turut menyaksikan 33 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan, dan tujuh motosikal di sita.

Beliau berkata operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh itu dijalankan berikutan gejala samseng jalanan yang aktif berdasarkan pemerhatian dan aduan awam pada bulan Ramadan. 

"Empat pelajar sekolah dalam daerah Pasir Puteh berumur 15 hingga 18 tahun daerah Pasir Puteh ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis akan terus memantau serta menjalankan operasi bagi mencegah kegiatan tidak sihat sepanjang bulan Ramadan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA