Ptptn Bantu 200 Pelajar Asnaf Di Ayer Itam

21/03/2024 06:30 PM

GEORGE TOWN, 21 Mac (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM35,000 untuk bantuan persekolahan kepada 200 pelajar asnaf di dua buah sekolah di Ayer Itam, di sini.

PTPTN buat julung kalinya bekerjasama dengan Harian Metro melalui Program Titipan Kasih Back To School, melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Itam dan SK Sri Aman di sini.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata program itu diadakan bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan dan meraikan murid melangkah ke sesi baharu persekolahan dengan kelengkapan set pakaian serta beg sekolah baharu.

"Melalui program itu, pelajar-pelajar asnaf menerima bantuan set pakaian sekolah dan beg sekolah membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan daripada PTPTN sebanyak RM35,000.

"Pihak Media Prima Berhad pula memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000, setiap pelajar akan menerima RM100 dan kami berharap ibu bapa akan terus menabung untuk kegunaan anak-anak mereka bagi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Titipan Kasih Back To School bersama PTPTN dan Harian Metro di SK Ayer Itam di sini dan turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit yang juga Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro.

Norliza berkata di sebalik fungsi utama PTPTN memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara, pihaknya juga sentiasa prihatin dalam menyalurkan sumbangan bagi membantu golongan kurang bernasib baik melalui pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk kebajikan masyarakat.

Beliau berkata usaha murni itu akan dilaksanakan secara berterusan agar masyarakat tidak tercicir daripada arus pendidikan disebabkan masalah kewangan.

Selain itu, beliau memaklumkan sempena Ramadan, PTPTN turut mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada semua jemputan yang hadir dan penduduk sekitar kawasan berkenaan hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Ayer Itam Rafe'ah Ismail berkata pihaknya berterima kasih kepada PTPTN dan Harian Metro atas usaha dan bantuan yang disalurkan kepada 100 pelajar asnaf di sekolah berkenaan dan berharap lebih banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan turut tampil membantu.

"Sebenarnya saya sangat gembira atas usaha yang dilakukan oleh PTPTN dan Harian Metro ini kerana ia boleh membantu anak-anak yang kurang berkemampuan selain dapat membangkitkan semangat mereka belajar kerana mendapat pakaian serta beg sekolah baharu.

"Bantuan hari ini banyak membantu mereka dan kami di pihak sekolah juga berharap pelajar-pelajar tidak menjadikan kemiskinan dan kekurangan itu sebagai penghalang untuk meneruskan pelajaran sehingga berjaya," katanya.

Bagi pemangku guru besar SK Sri Aman Haliza Md Hashim, bantuan itu memberi impak yang sangat positif kepada penerima kerana mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah.

"Kami di pihak sekolah berbesar hati dipilih antara penerima bantuan hari ini kerana sebagaimana kita faham, kawasan ini ramai asnaf dan sumbangan berkenaan memberi impak besar kepada anak-anak di sini.

"Saya merupakan penduduk di sini dan sedikit sebanyak amat arif dengan kawasan ini, jadi saya mewakili pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama PTPTN dan Harian Metro kerana memilih SK Sri Aman sebagai penerima bantuan," katanya seramai 100 pelajar menerima bantuan itu. 

Dalam pada itu, seorang ibu Siti Nabilah Syazwani Muhammad, 33, berkata beliau dan suami sangat bersyukur kerana dua anaknya Nur Syafikah Isabella Mohd Hafiz,7, dan Muhd Farish Haikal,11, menerima bantuan hari ini.

"Orang lain mungkin kata sedikit sebanyak ringankan beban keluarga, tapi bagi saya dan suami ini memang amat membantu kami kerana seorang anak memerlukan lebih RM200 untuk perbelanjaan pakaian serta beg sekolah, jadi hari ini kami dapat berjimat lebih RM400," katanya.

-- BERNAMA