Konsulat Jeneral Malaysia Agih Bubur Lambuk Di Medan

21/03/2024 08:53 PM

JAKARTA, 21 Mac (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Medan, Indonesia hari ini mengagihkan kira-kira 700 bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar bangunan Konsulat Jeneral dan lokasi tumpuan awam sempena bulan Ramadan.

Lawatan konsular turut diadakan ke pusat tahanan berhampiran Kota Medan serta menyerahkan juadah bubur lambuk kepada tahanan rakyat Malaysia, menurut KJM dalam satu kenyataan.

Konsul Jeneral Shahril Nizam Abdul Malek mengibarkan “Jalur Gemilang” semasa melepaskan wakil pengagihan bubur itu di hadapan bangunan Konsulat Jeneral.

Ahli-ahli Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan) Medan, Kelab Sukan, Kebajikan, Rekreasi dan Sosial KJM Medan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) terlibat menjayakan program, bertemakan “Bersama Berkongsi Tradisi Sambil Bersilaturahim” .

Hampir 50 orang ahli jawatankuasa penganjur, diketuai Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia Leftenan Komander Shahrizan Sahari, bergotong-royong menyediakan tiga kawah bubur lambuk sejak 8.00 pagi di perkarangan KJM di Medan.

-- BERNAMA