Hotel Royale Chulan Seremban Semarakkan Ramadan, Edar 1,000 Pek Bubur Lambuk
SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Hotel Royale Chulan Seremban terus menyemarakkan lagi sambutan Ramadan tahun ini dengan mengedarkan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk Flat Seri Seroja di sini sebagai antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengurus Besar hotel berkenaan Abd Rahman Ahmad berkata tradisi pengedaran bubur lambuk yang diadakan setiap tahun itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat selain mengenal pasti golongan kurang berkemampuan yang memerlukan pertolongan pada masa akan datang.
“Setiap tahun kita buat program CSR dan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat. Tahun ini kita edarkan 1,000 pek bubur lambuk yang disediakan khas dari dapur hotel kita. Lebih 30 warga hotel turut membantu untuk program hari ini.
“Kami merasakan lokasi ini sesuai kerana kebanyakan penduduk daripada golongan kurang berkemampuan, kita mahu mereka merasai juadah istimewa yang sentiasa menjadi kelaziman untuk dinikmati umat Islam semasa berbuka puasa dari dapur hotel,” katanya kepada pemberita selepas edaran bubur lambuk itu di sini hari ini.
Beliau berkata bubur lambuk yang dimasak sejak awal pagi tadi itu menggunakan 40 kilogram beras dan 30 kilogram daging serta dimasak oleh cef berpengalaman dan pakar dalam menyediakan juadah berkenaan.
Beliau berkata agihan bubur lambuk pada hari ini turut mendapat kerjasama daripada ahli jawatankuasa surau flat berkenaan yang diagihkan kepada 500 ahli keluarga daripada golongan B40, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.
Abd Rahman berkata beberapa inisiatif lain dilakukan bagi membantu komuniti kurang bernasib baik dan bersempena dengan Ramadan ini, pihaknya juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) negeri untuk majlis iftar bersama 100 peserta daripada pelbagai rumah kebajikan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Surau Bahagian Kebajikan dan Masyarakat Flat Seri Seroja Suhairi Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih kepada hotel itu atas sumbangan yang pastinya memberikan kegembiraan kepada penduduk flat berkenaan.
“Di sini ramai yang daripada keluarga sederhana, inilah kelebihan Ramadan, ramai pihak yang berkemampuan turun memberi sumbangan. Kita sangat alu-alukannya, program ini kita uar-uarkan lebih awal melalui kumpulan WhatsApp, dari blok ke blok dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA