Sultan Ibrahim Kurnia 25,000 Kampit Beras Kepada Asnaf Sekitar Ibu Negara

22/03/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi 25,000 kampit beras, seberat 10 kilogram setiap satu kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan. 

Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata kurniaan itu merupakan cetusan hati sanubari Yang di-Pertuan Agong yang prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan itu khususnya di sekitar Kuala Lumpur ditambah dengan keadaan ekonomi tidak menentu serta kenaikan harga barang ketika ini.

“Walaupun kita nampak kecil, saya fikir ia begitu bermakna kepada mereka yang dalam kesusahan, keadaan mungkin berlaku kenaikan harga beras. Jadi sumbangan makanan ruji ini sekurang-kurangnya dapat membantu khususnya dalam bulan Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Fauzi Abidin dan Pengerusi Masjid Saidina Hamzah Zulkarnain Umar. 

Azuan Effendy berkata Seri Paduka Baginda sentiasa menzahirkan harapan dan keinginan untuk membantu golongan susah sebaik mungkin dan lebih banyak lagi program sedemikian akan dibuat selepas ini. 

Beliau berkata Istana Negara dengan kerjasama MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menetapkan 10 masjid terpilih sekitar Kuala Lumpur bagi urusan pengagihan beras kepada asnaf di sekitar kariah dengan setiap masjid akan menerima stok beras sebanyak 2,500 kampit itu.

Seorang penerima Nor Azila Sahbari, 32, bersyukur kerana terpilih menerima bantuan berkenaan yang disifatkannya amat diperlukan ketika ini memandangkan dia kini memikul tanggungjawab ketua keluarga setelah suaminya terlantar sakit sejak dua tahun lepas.

Ibu kepada tujuh anak berusia enam bulan hingga 14 tahun yang tinggal di PPR Batu Muda itu berkata dengan pendapatan tidak menentu sebagai peniaga kecil-kecilan, tugas menyara keluarga amat sukar lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini.

“Saya terima rezeki ini dengan tangan terbuka. Sekarang hanya saya seorang bekerja menanggung keluarga dan apabila mendapat bantuan ini saya bersyukur sangat, terasa ringan beban. Menjunjung kasih Tuanku semoga dipanjangkan umur sihat-sihat selalu,” katanya.

Bagi Sarimah Nordin, 65, dari Pangsapuri Seri Batu, walaupun sumbangan berkenaan kelihatan kecil namun baginya serta penerima lain yang kurang berkemampuan, ia amat berharga dan istimewa sekali gus membuktikan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap kesusahan rakyat. 

“Terima kasih banyak-banyak kepada Tuanku membantu kami yang asnaf ini. Harga beras ketika ini agak mahal dan bagi keluarga seperti saya yang mempunyai ramai anak cucu, 10 kilogram beras ini mampu menampung keperluan dalam dua minggu,” katanya. 

-- BERNAMA