Mysavefood Perlu Penglibatan Lebih Ramai Sukarelawan Ipt - Fuziah

22/03/2024 09:12 PM

KUCHING, 22 Mac (Bernama) -- Lebih ramai sukarelawan terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) diperlukan bagi memperluas inisiatif MySaveFood ke lokasi pasar malam seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau berkata inisiatif berkenaan yang bertujuan mengurangkan jumlah pembaziran makanan telah mendapat sambutan memberangsangkan setakat ini dengan 14.8 tan metrik makanan dan minuman berjaya di selamatkan di bazar Ramadan seluruh negara.

“Jadi tentu sekali kita nak melangkah ke peringkat seterusnya selepas melihat kejayaan ini ke pasar malam pula… kalau tambah sukarelawan mungkin boleh tingkatkan (penglibatan) pasar malam (dengan inisiatif ini).

“Selepas Aidilfitri nanti kita boleh teruskan dengan perancangan ini dan bincang dengan persatuan penjaja. Projek pertama kita mungkin di Pasar Malam Metrocity, di sini untuk selamatkan makanan yang tidak habis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MySaveFood peringkat Sarawak di Bazar Ramadan Rahmah Metrocity di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas program MySaveFood yang bertujuan mengurangkan jumlah pembaziran makanan di kawasan pasar malam secara berperingkat selepas Aidilfitri. 

Kempen itu digerakkan KPDN dengan kerjasama rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) manakala pelaksanaan program diuruskan oleh sukarelawan IPT daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

Seramai 50 sukarelawan di Sarawak meliputi lima IPT antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dan Politeknik Kuching University College telah terlibat bagi pengagihan makanan kepada golongan yang memerlukan menerusi program MySaveFood.

Fuziah berkata usaha mengumpul serta mengedar makanan dan minuman yang tidak habis dijual secara percuma kepada golongan sasar itu dilakukan secara teliti bagi memastikan tiada kes makanan rosak. 

“Kita pastikan ia (makanan dan minuman dalam keadaan) baik, dibungkus dan ditimbang dengan baik (sebelum diagihkan). Kita pastikan bahawa dalam prosedur operasi standard itu ia mesti dimakan atau diminum dalam masa dua jam dan kalau rosak harus diadukan balik semula ada kod QR untuk mengadu,” katanya. 

Terdahulu, beliau turut merasmikan Bazar Ramadan Rahmah Metrocity yang menawarkan Menu Rahmah oleh lebih 70 peratus peniaga di situ.

-- BERNAMA