Tmm2024: Penerbangan Sewa Dhaka-jakarta Bakal Lonjakkan Pelancongan Kesihatan
MELAKA, 23 Mac (Bernama) -- Kesediaan Bangladesh dan Indonesia menjadikan Melaka sebagai hab pelancongan kesihatan dengan menggunakan perkhidmatan sewa kapal terbang dijangka akan melonjakkan jumlah kemasukan pelancongan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Zaidi Attan berkata setakat ini terdapat dua operator yang mengesahkan kesudian melakukan penerbangan sewa tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam (LTAM) bagi mempromosikan kesihatan pelancongan ke Melaka.
"Dari Dhaka ada dua operator, satu daripadanya adalah Cosmo Holiday dan kelmarin, kita dapat satu lagi agensi yang sanggup membuat promosi pelancongan kesihatan dari Jakarta ke Melaka.
"Untuk penerbangan dari Bangladesh, Insya-Allah kita sedang susun dengan penerbangan pertama dari Dhaka dijadualkan pada 1 Mei ini seperti dimaklumkan Exco Pelancongan (Datuk Abdul Razak Abdul Rahman) pada sidang Dewan Undangan Negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis Iftar Ramadan dan Ramah Mesra Hospital Pantai Ayer Keroh di sini malam tadi. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Hospital Pantai Ayer Keroh Catherine Gan.
Zaidi berkata bagi penerbangan sewa dari Indonesia pula, susunan gerak kerja sedang diatur termasuk mempercepatkan proses memandangkan penerbangan pertama dari Jakarta ke LTAM disasarkan diterima pada penghujung Jun atau awal Julai ini.
"Kita juga sedang usahakan mencari pesawat yang sanggup memberi perkhidmatan dari Sumatera ke Melaka sebab ramai pelancong kesihatan kita berpusat di Batam, Pekanbaru, Medan dan Bukit Tinggi," katanya.
Mengulas mengenai kekerapan penerbangan sewa menggunakan LTAM, beliau berkata sebanyak dua penerbangan seminggu dijadualkan dari Dhaka dan Jakarta hanya pada Isnin dan Khamis.
Menurut Zaidi Melaka berpotensi untuk bersaing dengan fasiliti kesihatan yang ditawarkan di Jakarta, Singapura dan Bangkok.
"Dengan lima hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan pelancongan kesihatan, kita boleh tawarkan harga yang lebih murah…malah dengan rekod lebih 180,000 pesakit pada tahun-tahun sebelum COVID-19 melanda, kita percaya jumlah itu akan bertambah sempena TMM2024 ini.
Sementara itu, Catherine berkata pihaknya komited untuk meneruskan kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan di negeri ini terutama selepas fasiliti kesihatan tersebut disenaraikan dalam Hospital Terbaik Dunia 2024 di Malaysia dalam Newsweek's World.
"Kejayaan ini adalah berdasarkan sokongan semua pihak yang membolehkan kami terus meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan, rawatan dan penjagaan kepada bukan sahaja kepada pesakit tempatan malah luar negara," katanya.
-- BERNAMA