Bernas Santuni 150 Asnaf Di Sarawak Sempena Ramadan

23/03/2024 08:35 PM

KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) hari ini meraikan dan menyantuni 150 asnaf terdiri yatim piatu dan golongan kurang berkemampuan menerusi Program Gema Ramadan Bernas. 

Pengerusinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata golongan berkenaan dari 13 kampung sekitar bandar raya Kuching menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, kicap dan minyak masak. 

“Sumbangan sempena Ramadan itu merupakan sebahagian daripada program turun padang. Selain itu, kita juga mengagihkan bubur lambuk dan berbuka puasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di Masjid Darul Hana di sini, hari ini. 

Beliau berkata sejumlah 1,500 pek bubur lambuk turut diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadan Sukma dan Masjid Darul Hana. 

Program berkenaan juga akan dianjurkan di Yan, Kedah pada 28 April ini melibatkan 500 penduduk tempatan terdiri pesawah dan asnaf. 

“Di Kedah nanti kesemua penerima iaitu asnaf akan kita bawa untuk membeli baju raya selain berbuka puasa bersama mereka dan komuniti pesawah,” katanya. 

-- BERNAMA