35,000 Pengunjung Tempatan, Luar Negara Sertai Iftar@kl

23/03/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Sebanyak 35,000 pengunjung tempatan dan luar negara dijangka menyertai Iftar@KL anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Dataran Merdeka sepanjang enam hari penganjuran program itu.

Program dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pelancongan Islam dan Persatuan Seni Budaya Putra itu menyediakan 35 talam juadah berbuka puasa untuk pengunjung.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata penyertaan pengunjung pada tahun ini amat menggalakkan dan meningkat berbanding hanya 30,875 pengunjung pada tahun lepas.

“Program ini merupakan kali ke-12 diadakan selepas mula diperkenalkan pada 2012 itu dan untuk tahun ini, ia berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac serta 6 dan 7 April.

“Program ini bertujuan mengimarah dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah selain merapatkan silaturahim antara kaum menerusi program dan aktiviti kerohanian,” katanya kepada pemberita dalam program yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata MOTAC sedang merancang untuk memperluaskan program seumpama ini ke seluruh negara.

“Pelancongan budaya perlu diperincikan lagi bahawa betapa uniknya kebudayaan kita ketika bulan mulia ini selain dapat mengeratkan silaturahim.

“Tahun ini kita dimaklumkan, program sebegini akan berlangsung di Sabah dan Pahang manakala pada tahun depan mungkin diperluaskan ke negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu seorang pengunjung dari Australia, Alice Darrick, 35 berkongsi keterujaan menyertainya apabila tiba seawal 4.30 petang bersama suaminya.

“Ini kali pertama saya menyertai program sebegini dan ia sangat menarik. Ramai datang dengan keluarga untuk berbuka puasa bersama-sama,” katanya kepada Bernama.

Seorang pelajar sekolah, Maisarah Batrisyiah Mazlan, 17, berkata dia bersama rakannya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai program iftar itu pada setiap tahun.

“Saya selalu datang ke program ini kerana ada pelbagai jenis makanan dan juadah untuk berbuka puasa. Lagi-lagi dapat berbuka bersama kawan-kawan di kawasan tarikan pelancong, rasa sangat seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai,” katanya.

-- BERNAMA