Kumpulan Sunway Ceriakan Komuniti Kurang Bernasib Baik Melalui 'sinar Ramadan'

24/03/2024 12:27 PM

GEORGE TOWN, 24 Mac  (Bernama) -- Kumpulan Sunway menceriakan lebih 4,000 komuniti kurang bernasib baik di Malaysia melalui program Sunway Sinar Ramadan 2024 dengan menjamu pelbagai hidangan tradisional demi berkongsi senyuman dan menyemarak keceriaan sempena Hari Raya.

Naib Pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Razman M Hashim berkata sempena ulang tahun ke-50 Kumpulan Sunway tahun ini, program Sunway Sinar Ramadan 2024 akan menyaksikan lima acara diadakan di lima negeri sepanjang tempoh dua minggu, dengan menghimpunkan selebriti tempatan dan rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan dalam misi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sepanjang Ramadan ini.

Program Sunway Sinar Ramadan 2024 telah dijalankan di Johor, Perak dan Pulau Pinang dan selepas ini ia akan diteruskan ke Terengganu dan Selangor.

"Falsafah kami bukan sekadar mengecapi kejayaan, malah sentiasa berbuat baik. Tidak ada gunanya berjaya jika kita tidak membawa kebaikan kepada komiuniti," katanya kepada pemberita selepas program Sunway Sinar Ramadan 2024 di sini, malam tadi.

 

Beliau berkata Kumpulan Sunway sentiasa menyokong usaha ke arah akses saksama dalam pendidikan dan kumpulan itu sehingga kini, telah membelanjakan hampir RM670 juta dalam bentuk biasiswa universiti kepada calon yang layak.

Beliau berkata Kumpulan Sunway percaya bahawa pendidikan jalan paling cepat untuk  keluar daripada  kemiskinan dan ia berharap dapat terus memberikan biasiswa dalam tahun-tahun yang akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang turut hadir pada majlis itu berharap agar lebih banyak syarikat dapat mencontohi Kumpulan Sunway dan bekerjasama dengan kerajaan, khususnya Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat.

Sunway Sinar Ramadan 2024 merupakan program di bawah program tanggungjawab korporat kumpulan itu, #SunwayforGood, yang beriltizam untuk menggalakkan usaha kelestarian dan inklusi sosial melalui tiga bidang iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pengayaan komuniti.

Ia selaras dengan komitmen Sunway untuk memajukan 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pelakon yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia (MAF) Datuk Aaron Aziz dijemput bagi memeriahkan program yang berlangsung di Wisma Yatim Perempuan Islam Negeri Pulau Pinang, Georgetown.

Aaron berkata ini adalah kerjasama pertama MAF dengan Kumpulan Sunway dengan kedua-dua pihak bekerjasama dalam beberapa projek di seluruh negara, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS dan memerangi stigma mengenainya.

"Saya telah menjadi Selebriti Sokongan Riben Merah selama lebih sembilan tahun dan pendidikan tentang HIV/AIDS adalah penting terutamanya untuk remaja agar mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik, apabila bermaklumat.

"Kami juga berharap untuk memerangi stigma sekitar HIV/AIDS dan kami berharap syarikat-syarikat tidak akan mendiskriminasi pesakit-pesakit ini," tambahnya.

-- BERNAMA