Peniaga Buluh Lemang Tingkat Bekalan Tampung Permintaan Menjelang Aidilfitri
MELAKA, 23 Mac (Bernama) -- Bagi menampung permintaan buluh lemang yang tinggi dalam kalangan peniaga makanan tradisional itu, Zulazrai Zokapaly terpaksa meningkatkan bekalan buluh lemang daripada 35,000 batang pada tahun lepas kepada 60,000 batang tahun ini.
Zulazrai, 36, yang mengusahakan perniagaan menjual buluh lemang sejak lima tahun lepas berkata tempahan buluh lemang berkenaan diperoleh dari Raub, Pahang itu setakat ini mampu memenuhi permintaan kira-kira 50 peniaga lemang di sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Muar serta Tangkak di Johor.
"Pada tahun lepas, kita mula menjual buluh lemang pada pertengahan Ramadan tetapi tahun ini kita mula jual pada awal Ramadan dan permintaan sangat tinggi berdasarkan tempahan diterima dan ia akan ditutup menjelang lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
"Setakat ini, 37,000 batang buluh lemang ditempah dan sebahagian peniaga akan mengambil bekalan secara berperingkat … jumlah paling tinggi yang ditempah seorang peniaga adalah sebanyak 10,000 batang dan kita juga jual dalam kuantiti kecil," katanya ketika ditemui pemberita di pusat jualan buluh lemang di Pokok Mangga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, anak jati Melaka itu berkata setakat ini, sebanyak 20,000 buluh lemang diterima daripada pembekal menerusi dua kali penghantaran dan baki bekalan dijangka diterima dalam empat penghantaran secara berperingkat bermula Isnin ini.
Dari segi harga, katanya setiap batang buluh lemang berkenaan dijual RM1.30 jika dibeli secara borong iaitu 1,000 batang ke atas, manakala bagi mereka yang ingin membeli dalam kuantiti kecil akan dijual pada harga RM1.50 sebatang.
Zulazrai yang mengusahakan jualan lemang buluh itu bagi menambah pendapatan sampingan bersempena dengan Aidilfitri berkata buluh lemang dari Raub menjadi pilihannya kerana mempunyai kualiti yang lebih baik antaranya dari segi panjang buluh berkenaan lebih standard iaitu antara 17 hingga 18 inci.
"Sebelum ini, saya pernah dapatkan bekalan buluh lemang dari Kelantan dan Terengganu, namun saiznya lebih pendek antara 13 hingga 14 inci dan kurang mendapat permintaan dalam kalangan peniaga lemang," katanya yang turut mengusahakan pelbagai peniagaan lain seperti tebu dan produk kesihatan secara dalam talian.
Dia yang menyasarkan jualan kasar antara RM70,000 hingga RM80,000 pada tahun ini berkata banyak risiko perlu dihadapi dalam mengusahakan perniagaan buluh lemang terutama cuaca panas yang boleh merosakkan buluh terbabit.
Katanya, dalam situasi semasa cuaca panas di Melaka, buluh lemang berkenaan akan disiram dengan air sekurang-kurangnya lima kali sehari bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan basah agar tidak merekah atau terbelah dua sekali gus mengurangkan keuntungan yang disasar.
Zulazrai berkata buluh lemang yang diperoleh pada awalnya akan disusun dan diasingkan mengikut saiz panjang dan diameter serta kualiti sebelum diikat bagi memudahkan peniaga membelinya.
"Kebiasaannya daripada 10,000 batang buluh lemang yang sampai kepada kita, lebih 600 batang dikesan rosak dan pecah … tidak boleh dipulangkan atau ditukar kerana kita beli secara borong," katanya yang turut menjual daun lerek yang digunakan dalam pembuatan lemang, pada harga 50 sen sehelai.
-- BERNAMA