Nancy Santuni Anak Yatim Pada Majlis Iftar Sinar Kasih Ykn

24/03/2024 09:07 PM

KUCHING, 24 Mac (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyantuni kira-kira 200 anak yatim dan golongan asnaf pada majlis Iftar Sinar Kasih Ramadan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Beliau berkata majlis itu yang dianjurkan sempena bulan Ramadan bukan sahaja bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik malah menyediakan peluang untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mereka sebagai persediaan menyambut Hari Raya.

“Kehadiran Ramadan sebagaimana kita semua sedia maklum adalah sarat dengan kemuliaan dan keberkatan. Justeru amat rugi jika kita tidak menghargai atau menyambutnya dengan pengisian sewajarnya dengan kelebihan Ramadan itu sendiri," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini malam ini.

Nancy berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan setiap golongan masyarakat di negara ini. 

"Saya menyeru kepada para penyumbang daripada korporat, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk bersama YKN membantu mereka yang memerlukan.

"Penglibatan para penyumbang melalui platform tanggungjawab sosial korporat dengan YKN membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar dapat dibantu," katanya.

-- BERNAMA