Anwar Rasmi Program Gerak Rahmah Parlimen Tambun, 10,000 Bubur Lambuk Diedar

25/03/2024 05:12 PM

IPOH, 25 Mac (Bernama) -- Sebanyak 10,000 bekas bubur lambuk diedar kepada penduduk di sekitar Parlimen Tambun pada Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan 2024 dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan Orang Taman Taman Meru di sini hari ini. 

Program dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada program itu, sebanyak 450 peserta terdiri daripada 20 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Tambun, 10 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil bahagian memasak 30 periuk bubur lambuk. 

Selain memasak bubur lambuk, sebanyak 150 Kotak Rahmah turut disumbangkan kepada penerima sasaran. 

Perdana Menteri sempat meluangkan masa menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian dan menyerahkan Kotak Rahmah dan kerusi roda kepada beberapa penerima memerlukan. 

Anwar kemudian mengadakan jelajah mesra di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Perpaduan, Ulu Kinta (Parlimen Tambun) di sini kira-kira 5.30 petang.

Turut hadir Saarani, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Perdana Menteri turut memakaikan apron kepada tiga peniaga di situ sebagai simbolik mereka yang menjual makanan atau minuman pada harga Rahmah. 

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan pergerakan Anwar ke bazar Ramadan itu sekali gus melancarkan BRR Peringkat Negeri Perak Tahun 2024.

Program BRR merupakan satu daripada inisiatif KPDN dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui penyediaan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

KPDN Perak memaklumkan bagi penganjuran peringat negeri, sebanyak empat lokasi tumpuan orang ramai telah dipilih sebagai BRR pada tahun ini iaitu BRR Taman Cempaka Ipoh, BRR Taman Perpaduan Tambun, BRR Taman Silibin Ipoh dan BRR Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Pada masa sama, Majlis Pelancaran MySaveFood Peringkat Negeri Perak turut disempurnakan Perdana Menteri di BRR Taman Perpaduan hari ini. 

Projek Malaysia Save Food Ramadan 2024 atau dikenali sebagai MySaveFood bertujuan membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Inisiatif itu turut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang 2030 dan mewujudkan kelaparan sifar, demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA