Kpwkm Sumbang Juadah Iftar Laksa Sarawak Kepada Petugas Bernama

26/03/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyumbangkan 300 pek Laksa Sarawak untuk juadah berbuka kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini.

Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Deborah Catherine Dris berkata sumbangan itu sebagai penghargaan kepada petugas Bernama yang banyak membantu kementerian dalam menyebar luas maklumat dan informasi kepada rakyat.

“Bernama merupakan rakan media pertama yang kami edarkan juadah berbuka puasa untuk tahun ini. Ia sebagai tanda terima kasih atas sumbangan dan jasa rakan-rakan media sebelum ini.

“Sebenarnya setiap tahun kita akan edarkan Laksa Sarawak atau apa-apa juadah kepada rakan-rakan media sebab kita faham tugas media yang kadang-kadang tidak tentu masa. Jadi kami berharap juadah ini sedikit sebanyak membantu mereka terutama pada Ramadan,” katanya yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

-- BERNAMA