Kementerian Luar Rai Duta, Perwakilan Asing Dalam Majlis Berbuka Puasa
PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini meraikan para perwakilan asing, duta dan warga kementerian dalam satu majlis berbuka puasa di Kementerian Luar di sini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Turut hadir dari wakil media adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarangnya D. Arul Rajoo.
Pada majlis itu tetamu disajikan dengan hidangan dan masakan kampung antaranya daging salai masak lemak cili api, sambal daun kayu, ulam-ulaman dan masak lemak labu.
Mohamad dalam ucapannya berkata Malaysia beruntung kerana tinggal dalam suasana yang aman jika dibanding dengan sesetengah negara lain yang ditimpa peperangan dan pelbagai lagi.
Justeru, beliau mengajak semua supaya memastikan nikmat keamanan yang dikecapi selama ini, dijaga dan dinikmati selamanya.
"Bulan Ramadan ini mari kita bersama mengambil kesempatan meningkatkan lagi amal ibadah dan kebajikan kita.
"Mari kita pastikan nikmat keamanan yang dikurniakan ini dapat dinikmati sampai bila-bila," katanya.
-- BERNAMA