Kedutaan Malaysia Anjur Sambutan Nuzul Al-quran, Berbuka Puasa
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 28 Mac (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menganjurkan Majlis Sambutan Nuzul al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Kedutaan di Kuningan, Jakarta Selatan pada Rabu.
Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menyertai 200 hadirin terdiri daripada pegawai, kakitangan kedutaan dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN berserta keluarga dan rakyat Malaysia yang berada di sini.
Bekas Mufti Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar telah dijemput menyampaikan ceramah mengenai puasa yang memasuki fasa akhir dan Nuzul al-Quran, peristiwa diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.
Ketika di temui media, Syed Md Hasrin berharap ceramah berkenaan dapat memberi manfaat serta pengertian terhadap segala amalan yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadhan setakat ini.
"Selain mengeratkan lagi silaturahim dan berkenalan dengan mereka yang baru ditempatkan dan bekerja di sini, kita dapat perkongsian tentang ibadah puasa dan kepentingan sambutan itu," katanya.
Mereka yang hadir di acara tahunan kedutaan itu turut merasai suasana berbuka puasa dengan menu Malaysia dan menikmati jamuan bersama selepas solat sunat tarawih atau moreh seperti di tanah air.
-- BERNAMA