Keluarga Peniaga Di Terengganu Infak 350 Kampit Beras
KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Sebanyak 350 kampit beras diagihkan pekerja kedai runcit Gemilang Mart di sini dalam tempoh tidak sampai 10 minit sebagai infak kepada mereka yang memerlukan.
Pengurus kedai itu Siti Fatimah Mohd Farook, 41, berkata ini merupakan tahun kedua agihan beras dibuat sempena Ramadan hasil perniagaan keluarganya.
“Memang niat kami adik-beradik nak bersedekah hasil perniagaan keluarga. Orang ramai mula beratur seawal 12.30 tengah hari tadi, tidak sampai 10 minit kesemua beras habis diagihkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata pada awalnya, mereka tujuh beradik menyasarkan untuk mengagih 300 kampit beras lima kilogram namun terpaksa menambah 50 kampit lagi disebabkan jumlah kehadiran yang ramai.
Abang Siti Fatimah, Shaik Ismail, 55, pula berkata mereka tidak berupaya mengawal penerima sebaliknya mengharapkan kejujuran masing-masing terutama pada bulan mulia ini.
"Insya-Allah, tahun depan kami akan tengok kepada kaedah penggunaan kupon untuk pastikan hanya mereka yang betul-betul layak menerima sumbangan dan tidak timbul isu seperti satu keluarga datang beramai-ramai," katanya.
Shaik Ismail berkata selain infak pada Ramadan, mereka sekeluarga menyumbang barangan keperluan asas secara bulanan kepada golongan memerlukan.
-- BERNAMA