Suruhanjaya Tinggi Malaysia Hoskan Majlis Iftar Untuk Lebih 150 Penganut Islam Di Namibia

28/03/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia hari ini menganjurkan majlis berbuka puasa kepada lebih 150 penganut Islam yang menunaikan solat Maghrib di Pusat Islam Windhoek.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, majlis tersebut menyaksikan pengagihan dan penyajian pek makanan mengandungi mi ayam goreng, epal, air mineral dan kurma kepada komuniti Islam Namibia yang berpuasa pada bulan Ramadan.

Kenyataan itu menyebut pek makanan tersebut, yang disediakan oleh Perwakilan Ladies Windhoek, telah diagihkan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan para pegawainya.

Selepas itu, Dr Mohamad Rameez dan para pegawainya menyertai komuniti Islam Namibia untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam merangkap Pengerusi Majlis Islam di Namibia iaitu Salmaan D Jacobs.

Sementara itu, Dr Mohamad Rameez berkata meskipun Namibia hanya mempunyai satu hingga dua peratus penganut Islam daripada keseluruhan tiga juta populasi di negara itu, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Namibia dipertahan melalui moto perpaduannya iaitu One Namibia One Nation.

Beliau memaklumkan bahawa infak yang diberikan adalah bagi membantu golongan memerlukan sepanjang Ramadan dan berharap sumbangan pek makanan itu akan membuktikan bahawa Konsep Malaysia MADANI juga telah direalisasikan di luar negara termasuk Namibia.

-- BERNAMA