Sultan Selangor Berkenan Berbuka Puasa Bersama Warga Uitm

29/03/2024 09:24 PM

SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini. 

Ketibaan baginda pada 6.30 petang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Menyambut ketibaan baginda berdua Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin. 

Pada majlis itu Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyerahkan sumbangan hari raya kepada 100 pelajar asnaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,000 daripada Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM.  

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai bacaan tahlil khas dipimpin Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam) Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM Shah Alam Mohd Faizan Tajuid. 

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berbuka puasa seterusnya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah bersama penerima sumbangan serta warga UiTM yang lain. 

-- BERNAMA