Csr Ramadan Bernama Buka Ruang Pelajar Kulinari Tunjuk Bakat
PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Pertubuhaan Berita Nasional Malaysia (Bernama), membuka peluang kepada pelajar bidang kulinari dari Kolej Komuniti Selayang, mengetengahkan bakat dengan mengaplikasikan perkara dipelajari dalam kelas untuk menyediakan makanan dalam skala besar.
Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Azirin Abdul Aziz berkata aktiviti memasak itu, meliputi penyediaan 1,000 pek makanan berupa sandwic dan roti John, yang melibatkan 100 pelajar kolej dan dibantu tiga pensyarah.
“Harapan kami dengan penyertaan ini ialah, ia dapat membantu mendedahkan pelajar bidang kulinari untuk mempraktikkan ilmu yang diperolehi, sepanjang pengajian mereka.
“Dengan itu, mereka dapat gunakan teknik dan pengetahuan yang ada, dalam penyediaan makanan khususnya dalam skala besar,” katanya kepada Bernama selepas program bertemakan ‘Indahnya Ramadan’ itu, yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, merupakan rakan strategik Bernama bagi penganjuran program itu selain FGV Holdings Bhd, Hong Leong Islamic Bank, Maju Expressway Sdn Bhd, All Kurma Sdn Bhd, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd.
Program CSR itu merupakan acara tahunan Bernama dan ini merupakan program CSR Ramadan kedua agensi berita itu, selepas penganjuran kali pertama di Bazaria Lembah Pantai, tahun lepas.
Berlangsung di Dataran Putrajaya dari 6 petang hingga 7 malam tadi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut turun padang bagi menyampaikan 1,000 pek makanan serta beg sumbangan kepada orang ramai, sebagai meraikan semangat mawaddah dan kedermawanan yang sinonim dengan bulan mulia ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pelesenan PPj Rozimah Wahid berkata kerjasama agensi itu dengan Bernama, meliputi penyediaan lokasi untuk pengagihan sumbangan selain penyerahan apron kepada peniaga trak makanan sekitar dataran.
“Kerjasama dengan Bernama ini dan PPj sebenarnya sangat mesra, dan kami sokong mana-mana agensi media terutamanya Bernama, yang merupakan suara kepada berita dalam negara. Apa-apa kerjasama yang dipohon kita cuba realisasikan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu Pengarah All Kurma Sdn Bhd Pam Chiang berkata syarikat itu, menyumbangkan 1,500 pek kurma dan pati kurma.
“Dalam pek kami itu, ada kurma dari Mesir dengan jenama Date Crown, kami juga menyumbangkan pati kurma yang 100 peratus asli, tiada tambahan gula, yang boleh menjadi penganti kepada pemanis yang lebih sihat,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Bernama, beliau berkata Ramadan merupakan bulan untuk memberi dan berkongsi, oleh sebab itu syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu gembira kerana dapat mengambil bahagian dalam program itu.
-- BERNAMA