Uda Berkongsi Rezeki Bersama 50 Anak Asnaf Di Morten Walk

30/03/2024 12:07 AM

MELAKA, 29 Mac (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) meneruskan legasi berkongsi rezeki apabila menyantuni 50 anak asnaf pelbagai latar belakang dari Rumah Kasih Tun Abdul Aziz (RKTAA) Melaka, dalam suasana meriah di Morten Walk Hall, Kampung Morten di sini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (UDA) Datuk Mohd Salem Kailany berkata anak-anak tersebut, menerima sumbangan zakat wakalah berjumlah RM15,000 yang disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, di mana setiap seorang menerima RM300 berupa duit raya.

“Penyerahan zakat sempena bulan Ramadan merupakan salah satu acara tahunan UDA yang bertujuan mendekati komuniti memerlukan khususnya di wilayah perniagaan UDA.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UDA dalam memenuhi tanggungjawab sosial serta mengeratkan hubungan silaturrahim dengan masyarakat setempat, seterusnya menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat yang lebih inklusif dan kita berharap sumbangan tersebut mampu mengukir senyuman serta keceriaan, buat anak-anak ini dalam meraikan Syawal yang bakal tiba,” katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Sinar Ramadan UDA 2024, di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA Azrudyn Rashid, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA Mohd Nazri Jamiran dan Pengetua Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Melaka Norhafizah Abdullah serta barisan pengurusan dan kakitangan UDA. 

Mohd Salem berkata sumbangan tersebut juga menunjukkan keterlibatan UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian negara dan masyarakat, dengan menumpukan kepada aktiviti sosial dan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang, kecekapan operasi dan CSR.

Beliau berkata selain meneruskan legasi UDA, inisiatif tersebut juga sejajar dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu L.F.F.E, akroniom bagi Legacy (legasi), Intergrated (Intergrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).

Mengulas mengenai Morten Walk, beliau berkata hub keusahawan yang terletak di lokasi strategik iaitu di pesisir Sungai Melaka, akan menjadi tumpuan pelancong apabila 40 peratus lot perniagaan telah diduduki peniaga dan dijangka beroperasi menjelang Mei atau Jun nanti, manakala 20 lot jualan makanan dan minuman sudah beroperasi sepenuhnya sejak tahun lepas.

“Ruang niaga yang kondusif yang disediakan kepada usawahan bumiputera berpotensi menarik pelancong, memandangkan ia berada di lokasi perkampungan tradisional Kampung Morten, Melaka River Cruise (MRC) dan Menara Taming Sari.

“Menjadi misi kita agar peniaga nanti menjual produk kraftangan berkaitan Melaka, yang mana apabila pelancong datang ke sini, mereka akan mendapat kesemuanya iaitu makanan dan minuman dan kraftangan," katanya.

Mohd Salem berkata dalam memastikan usahawan di Morten Walk berdaya maju, peniaga yang layak akan mendapat kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti.

-- BERNAMA