Peniaga Colek Diberi Amaran Jangan Naik Harga Sewenang-wenangnya
KOTA BHARU, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi amaran kepada peniaga yang menjual “colek” sepanjang Ramadan supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Pengarahnya Azman Ismail berkata pemantauan dijalankan pihaknya terutama di premis perniagaan yang tidak meletakkan tanda harga atau mengelirukan pelanggan.
Beliau berkata sepanjang Ramadan ini KPDN negeri menggerakkan 142 penguat kuasa bagi memantau penjualan colek supaya tidak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pencatutan.
"Pemeriksaan dilakukan menerusi Op Pantau bagi mengelak peniaga colek mengambil keuntungan berlipat ganda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood@Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Tunjong di sini hari ini.
Berikutan itu, Azman berkata KPDN turut memantau aktiviti jualan di bazar Aidilfitri dengan turun ke lokasi premis yang mengadakan promosi supaya mengikuti peraturan ditetapkan kerajaan.
"Sehingga kini tiada kompaun dikenakan, cuma kita mengeluarkan amaran dan teguran kepada peniaga yang ingkar.
"Menerusi usaha ini, peniaga memberi kerjasama yang baik termasuk meletakkan tanda harga supaya tidak mengelirukan pelanggan," katanya.
Menurutnya bagi peniaga yang ingkar, pihaknya mengadakan perjumpaan dan mengesyorkan agar mereka meletakkan tanda harga selain mengadakan pemantauan buat kali kedua bagi memastikan keberkesanan usaha tersebut.
-- BERNAMA