Lebih Banyak Syarikat Swasta, Ngo Perlu Kerjasama Dengan Ykn Anjur Program Kebajikan - Nancy

31/03/2024 06:34 PM

KUCHING, 31 Mac (Bernama) -- Lebih banyak syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan perlu tampil untuk bekerjasama dalam menggerakkan program kebajikan di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. 

Beliau berkata usaha berkenaan yang dilaksanakan di seluruh negara memerlukan sumbangan daripada rakan strategik untuk bersama-sama meringankan beban komuniti asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. 

“Kita menggalakkan syarikat (untuk terlibat)… sekiranya bekerjasama dengan kita, mereka juga boleh dapat pengecualian cukai, sama juga untuk NGO mereka juga boleh mohon pengecualian cukai.

“(Program kebajikan ini) bukan hanya untuk Ramadan tetapi ada juga beri barangan lain untuk membantu golongan asnaf seperti program ‘Back To School’ dan rakan strategik membantu kita menggantikan barangan di institusi kebajikan seperti tilam dan bantal baharu yang berjenama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sinar Kasih Ramadan YKN bersama Alliance Islamic Bank Berhad di sini hari ini. 

Nancy berkata baru-baru ini kementeriannya memberi sijil penghargaan kepada kira-kira 30 rakan strategik yang memberi sumbangan bagi melaksanakan projek kebajikan bersama YKN seperti agihan makanan dan keperluan harian.

Terdahulu, beliau menyantuni 100 anak asnaf dan OKU dari kawasan Demak Laut dan Pantai Damai serta membawa mereka membeli baju bagi menyambut perayaan Aidilfitri di pasar raya Mydin. 

“Inisiatif ini adalah hasil daripada kerjasama syarikat korporat melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat, khususnya dengan YKN dan Alliance Islamic Bank Berhad, yang telah menyumbang sejumlah RM35,000 bagi penajaan ini,” katanya. 

Menurut Nancy Alliance Islamic Bank Berhad selaku penaja utama turut mengagihkan sumbangan bakul makanan. 

-- BERNAMA