KEUTAMAAN DAN KELEBIHAN TADARUS AL-QURAN
Abdul Hadi Abd Aziz
Bulan Ramadan adalah bulan al-Qur’an dan Allah SWT memuliakan bulan ini kerana padanya diturunkan al-Qur’an.
Ia adalah hadiah terhebat yang pernah Allah SWT anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Maka dengan itu adalah tidak wajar kita mensia-siakan peluang dalam merebut manfaat dan kelebihan daripadanya. Bahkan Allah SWT juga telah menghadiahkan satu malam Istimewa buat kita semua iaitu Laitaul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu malam. Maka penuhilah Ramadan dengan segala bentuk amal ibadah, dan jangan disia-siakan walaupun sesaat. Antara amalan yang sering kita jalani ialah amalan bertadarus.
Asal perkataan tadarus
Perkataan tadārus berasal dari perkataan Arab iaitu tadārasa. Kata akarnya ialah darasa bermakna belajar dan mengkaji. Apabila ditambah dengan huruf ta dan alif mad, maka a akan menjadi tadaras yang bermaksud saling belajar dan mengkaji.
Perkataan ini menunjukkan bahawa adanya penyertaan daripada orang lain sekurang-kurangnya dua orang untuk belajar dan mengkaji.
Justeru apabila kita mengaitkannya dengan al-Qur’an, maka tadarus al-Qur’an membawa maksud kita saling dan sama-sama membaca al-Qur’an di samping mendengar, mengajar, belajar dan membetulkan bacaan setiap peserta.
Dengan demikian bacaan dan pemahaman kita akan bertambah baik. Inilah sunnah terbesar yang diamalkan oleh Nabi SAW bersama-sama Malaikat Jibril a.s pada setiap malam Ramadan.
Kelebihan dan keutamaan mengamalkan sunnah tadarus
Banyak keutamaan dan kelebihan apabila kita mengamalkan sunnah ini. Antaranya ialah:
1. Mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda dengan hanya membaca 1 huruf al-Qur’an yang mana akan diganjarkan dengan sepuluh kebajikan. Seperti dalam sabda Rasullullah SAW:
“Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Qur’an) maka ia mendapat satu kebaikan. Setiap kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan: "Alif Laam Miim" satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.” Riwayat at-Tirmizi.
2. Dapat memperbetulkan bacaan dan sama-sama mempelajari al-Qur’an.
Meskipun kita tidak dapat membacanya dengan lancar, namum kita meyakini bahawa setiap usaha kita, susah payah kita akan mendapat pahala. Berdasarkan hadis ini, Dari Aisyah -raḍiyallāhu 'anhā-, beliau berkata: "Rasulullah ṣallallāhu 'alaihi wa sallam bersabda: "Orang yang membaca al-Qur`ān dan ia mahir membacanya, maka ia bersama para malaikat yang mulia. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur`ān dengan tersangkut-sangkut dan berasa susah dalam membacanya, maka baginya dua pahala." Riwayat Muslim.
3. Memperoleh ketenangan dan kebahagian hati
Dengan tadarus al-Qur'an juga seseorang itu akan memperoleh ketenangan jiwa dan kedamaian hati sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat 82:
"Dan Kami turunkan dari al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
4. Menjadi manusia paling baik
Nabi SAW sangat menggalakkan umatnya untuk sentiasa mempelajari ilmu al-Qur’an seperti mempelajari cara bacaan di samping mempelajari ilmu tajwid. Ini bertujuan untuk kita mahir dan paling penting dapat membaca dengan baik contohnya dari segi makhraj dan sebutan. Setelah itu kita dituntut untuk mengajar al-Qur’an kepada anak-anak kita, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Nescaya Allah SWT akan mengangkat darjat mereka yang belajar dan mengajar al-Qur’an. Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik kalian adalah orang-orang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya.” Riwayat Bukhari.
Bukankah dalam halaqah tadarus al-Qur’an kita sedang menghidupkan sunnah belajar dan mengajar al-Qur’an?
5. Mendapat Syafa'at (pertolongan) di Hari Kiamat
Al-Qur’an akan menjadi saksi dengan segala tindakan dan perkara yang kita lakukan terhadapnya sama ada, membaca, menghafal, mentadabur serta bertadarus. Diriwayatkan dari Muslim dari Abu Umamah r.a berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Qur'an kerana sesungguhnya al-Qur'an itu nanti pada hari kiamat akan datang untuk memberi syafa'at kepada orang yang membacanya."
Bacalah doa ini setiap kali kita berdoa: Allahummaj’al quraan shafii’an lanaa fi yaumil qiyamah. (Ya Allah jadikanlah al-Qur’an ini syaf’at buat kami di akhirat kelak).
6. Menghidupkan hati yang kosong
Hati manusia mesti sentiasa dibersihkan dan dihidupkan. Ia mungkin mati kerana jauhnya kita dengan Allah SWT. Kita tidak menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Maka hati kita mat, keras dan tidak gentar apabila ayat-ayat-Nya dibaca. Sedangkan Allah berfirman dalam surah al-Anfal, ayat 2: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman..”.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Sesungguhnya seorang yang tidak ada sedikitpun al-Qur’an dalam hatinya adalah seperti rumah kosong". Riwayat Tirmizi.
7. Mengeratkan Ukhuwah Fillah
Kita melaksanakan tadarus dalam keadaan hati kita tenang dan tiada permusuhan sesama kita. Tujuannya adalah untuk mencari reda Allah. Kita dipilih oleh Allah SWT dan diberi kekuatan untuk hadir ke majlis tadarus bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan.
Bahkan kita juga mungkin tidak mengenali orang lain yang turut sertainya. Maka manfaat besar dari tadarus al-Qur’an adalah dapat menguatkan persaudaraan sesama muslim. Mereka yang bertadarus al-Qur’an baik di masjid, musolla atau di rumah hakikatnya mereka sedang menyambung tali persaudaraan sesama Muslim yang lain.
Inilah di antara kelebihan kita menghidupkan amalan tadarus yang mungkin kita tidak sedar. Meskipun demikian, kita sering melihat aktiviti ini kurang mendapat sambutan. Amat rugi sekali jika kita tidak berlumba-lumba untuk merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita.
Janganlah alasan tidak pandai mengaji, malu, takut dan sibuk menjadi halangan untuk kita menghidupkan tuntutan sunnah ini yang hanya di bulan Ramadan, bulan al-Quran. Itulah tema bulan ini, itulah pesta dan festival yang sepatutnya dihidupkan dan disemarakkan dengan bersungguh-sungguh dan disertai oleh semua lapisan masyarakat Islam.
--BERNAMA
Abdul Hadi Abd Aziz ialah daripada Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)