Program Iftar@kl Ruang Peniaga Trak Makanan Tingkat Hasil Jualan

01/04/2024 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Program Iftar@KL di Dataran Merdeka anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka ruang kepada peniaga trak makanan di sekitar ibu kota meningkatkan pendapatan.

Rata-rata peniaga yang ditemui berkata pendapatan mereka meningkat kerana selain jualan bertambah, kadar sewa yang dikenakan DBKL juga berpatutan.

“Dalam sehari, lebih 1,000 cawan (minuman) telah terjual dan ia memberi kelegaan kepada kami berbanding berniaga di bazar-bazar Ramadan. Pengunjung juga tidak henti-henti singgah membeli makanan sehingga malam.

“Sewaan tapak juga tidak semahal di bazar Ramadan,” katanya kepada Bernama di Dataran Merdeka di sini.

Senada dengannya, seorang peniaga makanan bergoreng Nur Aminah Shahida Yusof, 43, berkata konsep perniagaan trak makanan melalui program  Iftar@KL lebih menguntungkan dan teratur.

“Dekat sini, kami tinggalkan trak apabila waktu berniaga sudah habis. Kami tidak perlu datang ke sini membawa trak setiap hari dan perjalanan peniaga lebih teratur.

“Pengunjung yang hadir juga mempunyai pelbagai pilihan makanan dan minuman kerana di sini ada lebih 30 peniaga,” katanya.

Norashikin Mihat, 46, pula berkata sambutan jualan air minuman di gerainya amat menggalakkan sehingga dia perlu menambah jualan setiap hari.

“Kebiasaannya, saya akan sediakan 700 hingga 800 cawan, namun kini saya perlu sediakan sekurang-kurangnya 1,000 cawan bagi memastikan setiap pelanggan yang hadir dapat merasai air kopi kami,” katanya.

Sementara itu, semalam, program Iftar@KL menggamit perhatian para pengunjung apabila Dataran Merdeka disinari dengan pencahayaan 200 pelita bersempena dengan Malam 7 Likur.

-- BERNAMA