Fahmi Ingatkan Penjawat Awam, Penerima Str Tidak Terpedaya Penipuan Dalam Talian

01/04/2024 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan penjawat awam yang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Katanya beliau tidak mahu pihak tidak bertangggungjawab mengambil kesempatan atas khabar baik untuk rakyat.

"Saya pohon dari kalbu saya, tolong berhati-hati dan jangan jadi mangsa penipuan (scammer). Kalau kita terima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, semak dulu.

"Kalau terima mesej daripada orang yang kononnya kawan kita, semak dulu dan kalau dapat e-mel yang mengatakan klik pautan di sini, atau muat turun aplikasi, tolonglah jangan klik e-mel yang tidak dikenali," katanya kepada pemberita  selepas menyaksikan sesi latihan skuad KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam ini

Perdana Menteri hari ini mengumumkan penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan pesara kerajaan masing-masing bakal menerima BKK Aidilfitri sebanyak RM500 dan RM250 pada Jumaat ini.

Selain itu, seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran STR Fasa 2 melibatkan bayaran RM100 sehingga RM650 yang akan dikreditkan mulai Rabu ini.

Mengenai BKK Aidilfitri, Fahmi berkata baginya sejujurnya ia satu kejutan yang sangat baik dan sudah tentu memberi keceriaan kepada penjawat awam yang akan menyambut Aidilfitri minggu depan.

"Kalau saya ingat perbincangan atau bila tanya Perdana Menteri sebelum ni, beliau sering sebut kerajaan sudah sediakan bantuan RM2,000 untuk penjawat awam tempoh hari tetapi bila diumumkan hari ini BKK Aidilfitri, itu sudah pasti jadi satu perkara yang sangat menceriakan dan mengubah suasana," katanya.

Fahmi juga berharap penjawat awam memanfaatkan bantuan itu sebaik-baiknya dan mencadangkan mereka untuk menyokong peniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.

"Kita pergi secara fizikal dan sokong mereka yang hampir kesemuanya adalah peniaga bumiputera. Kita bantu mereka dan ini harapan saya," katanya.

-- BERNAMA