PENGALAMAN BERBUKA PUASA DI MASJID NIUJIE
Siti Radziah Hamzah
Sudah sebulan penulis tiba di Beijing bagi mengikuti program China International Press Centre 2024.
Sejak penulis tiba di negara Tembok Besar ini, beberapa rakan dari Malaysia yang bekerja di sini kerap mengajak penulis untuk berjumpa namun tidak berkesampaian kerana terikat dengan aktiviti program.
Ramadan tiba
Akhirnya bulan Ramadan tiba. Ini kali pertama penulis menyambut bulan suci ini di perantauan dan merasa sedikit sedih serta rindu kepada suasana berbuka di tanahair kerana sering berbuka sendirian.
Di Beijing tiada bazar ramadan seperti di Malaysia dan penulis merasa sedikit ralat kerana sudah teringin dengan masakan Malaysia.
Masuk minggu kedua berpuasa, akhirnya kami berlima bertemu untuk berbuka puasa dengan makanan ringan dahulu di masjid Niu Jie yang merupakan masjid terbesar dan tertua di China.
Ini juga merupakan pengalaman pertama penulis berbuka puasa di masjid di sini kerana masih belum biasa dengan kehidupan di sini. Malahan cuaca masih sejuk walaupun sudah masuk musim bunga.
Buka puasa di Masjid Niujie dimulakan dengan sedikit tazkirah dari imam masjid tersebut sebelum makanan ringan dan manisan diagih-agihkan kepada para jemaah Masjid.
Setelah berbuka puasa kami solat maghrib secara berjemaah sebelum keluar makan bersama.
Rindu suasana Ramadan di Malaysia
Rakan penulis, Mohd Isa Mohd Zubir, 35, yang pertama kali berpuasa di perantauan turut menzahirkan rindu dengan suasana berpuasa di Malaysia.
Beliau juga tiba di Beijing kira-kira sebulan bersama isteri beliau kerana mendapat tawaran bekerja di sini.
Beliau kini menggalas tugas sebagai seorang editor dan pakar dasar luar (foreign expert) di Kumpulan Media China serta hos untuk program Edisi Asia untuk Bernama TV.
"Sejujurnya memang sedih sebab puasa di China, terutamanya kerana terdapat perbezaan antara Beijing dan Malaysia. Dekat Malaysia, kita ada Bazar Ramadan. Bila pergi pusat membeli-belah, kita dah nampak vibe Ramadan dan hari raya.
"Tetapi di sini, tiada sebab mungkin penduduk Muslim adalah minoriti. Jadi untuk mengharapkan sambutan yang meriah di Beijing, janganlah meletakkan harapan yang tinggi kerana sambutannya adalah biasa sahaja," kata Mohd Isa.
Namun begitu, sedikit kemeriahan menyambut Ramadan dapat dirasai di masjid-masjid sekitar Beijing dengan solat tarawih.
Menurut Mohd Isa, walaupun jumlah masjid di Beijing dan China secara amnya tidaklah sebanyak seperti di Malaysia, begitu juga dengan kehadiran jemaah.
"Contohnya jemaah paling ramai untuk terawih di Beijing ialah di Masjid Niujie itu pun tidak sampai tujuh saf. Di salah satu masjid yang saya pernah tarawih, masjid yang tidak jauh dari stesen Muxidi, jemaah hanyalah satu saf sahaja. Paling ramai pun satu saf setengah untuk solat tarawih.
"Malah tarawih di sini dilakukan dengan agak cepat berbanding malaysia, selingan bacaan atau zikir bagi setiap dua raakat tarawih pun lebih pendek," tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Syukri Azmi, 33, sudah enam tahun tinggal di Beijing bersama isteri dan anaknya. Beliau kini bekerja sebagai editor berita antarabangsa di akhbar People's Daily Online setelah berkhidmat dengan sebuah kumpulan media yang lain di Beijing sebelum ini.
"Kami sudah melalui dua jenis puasa iaitu puasa dalam musim sejuk dimana buka puasa adalah lebih awal serta musim panas yang mana kami berpuasa sehingga 15 ke 16 jam. Itulah tempoh yang paling susah sekali sebab waktu itu panas kerana tempoh selepas berbuka puasa dan sahur lebih pendek," katanya.
Ditanya mengenai adaptasi dengan kehidupan di Beijing, Ahmad Syukri berkata tiada masalah untuk melakukannya kerana masyarakat di China umumnya menerima kehadiran orang luar tinggal di negara tersebut.
"Jika mereka lihat kita, mereka hendak kenal kita siapa. Kalau sebut dari Malaysia, semua orang tahu. Boleh kata kalau pergi mana-mana dan sebut Kuala Lumpur, dia tahu mana dan siapa Perdana Menteri kita. Nama yang paling famous sekali adalah Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar," katanya.
Masjid Niujie
Menurut carian penulis di internet, masyarakat Muslim di China sahaja dianggarkan kira-kira 18 juta orang dewasa pada tahun 2020 atau 1.6 peratus daripada populasi orang dewasa di negara Tembok Besar tersebut. Dua sub-kumpulan terbesar populasi Muslim ialah Hui (8.3 juta orang dewasa), diikuti oleh Uyghur (7.7 juta orang dewasa).
Sementara di Beijing, Niu Jie, yang sering digambarkan sebagai Pusat Kerohanian bagi lebih 300,000 penempatan Muslim di kawasan tersebut.
Terletak di daerah Xicheng, Niu Jie ataupun dikenali sebagai Ox Street juga merupakan enklaf terbesar Muslim Cina di Beijing sejak Dinasti Liao (907-1125).
Untuk memenuhi keperluan beribadah, Masjid Niujie telah dibina pada tahun 996 oleh Dinasti Liao dan diperbesarkan oleh Maharaja Kangxi pada Dinasti Qing.
Selain terkenal dengan Masjid Niujie, kawasan tersebut turut menarik pelancong luar dan orang tempatan yang berpusu-pusu datang untuk datang membeli makanan ringan serta makanan berat seperti makanan segera halal, hotpot dan juga mi tarik.
-- BERNAMA
Siti Radziah Hamzah merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Feb 2024.