Awang Selami Ilmu Agama, Bimbing Masyarakat Orang Asli Setempat

02/04/2024 11:02 AM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

TEMERLOH, 2 April (Bernama) -- Lebih 20 tahun lepas seorang pemuda Orang Asli tekad meninggalkan kampung halamannya di Penderas di sini untuk menimba ilmu bagi mengukuhkan pegangan agama Islamnya. 

Shahrol Wizan Sulong atau dikenali sebagai Awang, ketika itu merasakan dirinya belum cukup ilmu meskipun dibesarkan dalam keluarga Islam justeru mengambil langkah permulaan dengan berhijrah ke Kuantan untuk mendalami kitab suci al-Quran. 

"Saya bermula daripada kosong, belajar baca iqra' dan kemudianya al-Quran...dari pagi sampai malam saya memang tekun belajar sebab nak cepat pandai," kata Orang Asli suku Jahut itu ketika ditemui Bernama di Surau Darul Islah Kampung Orang Asli Penderas di sini, baru-baru ini. 

Berkat kesungguhannya, Awang akhirnya berjaya menguasai al-Quran dalam tempoh enam bulan ketika berusia 19 tahun selepas menerima bimbingan daripada tenaga pengajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) anjuran Yayasan Pahang di Kuantan pada 1999.

"Alhamdulillah, saya dapat menguasai iqra' dalam tempoh tiga bulan, dapat khatam al-Quran tiga bulan kemudian dan berasa begitu seronok dengan al-Quran, malah ketika di PETAMA selama setahun tiga bulan saya juga dapat khatam beberapa kali," kongsinya.

Berkongsi mengenai apa yang menyuntik semangat anak jati Pahang yang kini berusia 44 tahun itu untuk menjadi seorang yang celik al-Quran, Awang berkata penghijrahan sepupu menjadi titik tolak kepada perubahannya. 

"Ibu bapa peluk Islam ketika saya berusia dua tahun, jadi saya memang Islam sejak kecil...tetapi sepupu saya yang baru peluk Islam ketika belasan tahun pergi belajar di PETAMA dan ketika balik cuti dia jadi imam di surau kampung kami.

"Bacaan al-Fatihah dia baik sekali, lebih bagus daripada kami yang dah lama Islam ini, saya berasa cemburu dan kagum dengannya jadi saya ambil keputusan mengikut jejak langkahnya untuk belajar al-Quran di PETAMA," kata anak keempat daripada lapan beradik itu. 

Tidak terhenti di situ, beliau yang mesra disapa Ustaz Awang meneruskan misi pencarian ilmu di sebuah institut pendidikan agama di Kelantan selama lima tahun dalam bidang dakwah.

"Selain tengok sepupu yang pandai mengaji antara sebab lain nak masuk PETAMA sebab saya tengok kurang orang datang bimbing (agama) dekat kampung saya, jadi bila ada ilmu al-Quran dan dakwah dapat saya kongsikan dengan Orang Asli yang lain," katanya yang juga Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) di kampungnya. 

Sifat murni Awang untuk mengembangkan ajaran Islam ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengislamkan ramai masyarakat Orang Asli menerusi misi dakwah bersama Persatuan Qiadah PETAMA Pahang yang dipengerusikan olehnya.

Beliau yang ketika ditemu bual santai duduk di hadapan surau dengan baju Melayu biru, turut berkongsi cerita pendekatan yang diambil dalam menyantuni Orang Asli yang bukan Islam, iaitu sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan mereka selain sentiasa menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan. 

"Kena ada kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan mereka kena berdakwah secara tidak langsung bukan langsung dan tunjuk teladan yang baik selain jangan menyinggung hati mereka. 

"Antara momen yang saya ingat apabila ada seorang pemuda minta belikan buku bibliografi Nabi Muhammad SAW, kami bagi kepadanya pada tahun lepas dan tahun ini dia datang beritahu sebelum Ramadan nak masuk Islam dan dia tengah berpuasa sekarang," katanya sambil tersenyum. 

Malah di tengah perbualan penulis bersama Ustaz Awang, beliau turut berkongsi cerita gembira mengenai surau tersebut, Surau Darul Islah, yang juga merupakan madrasah mengajar ilmu agama dan mengaji, telah menerima pengiktirafan sebagai Surau Terbaik Kampung Orang Asli pada Konvensyen Mualaf MADANI Peringkat Kebangsaan tahun lepas. 

"Ini merupakan satu penghargaan kepada kami di sini selain ia merupakan amanat arwah bapa saya supaya surau ini diusahakan dan Alhamdulillah pada 1 Syawal 2018 kami dapat lakukan solat Jumaat di sini buat kali pertama," kata lelaki yang berkaca mata itu sambil menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.

-- BERNAMA