Mamee Labur Rm150 Juta Guna Teknologi Terkini Untuk Tingkatkan Pertumbuhan Perniagaan

02/04/2024 02:20 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Pengeluar makanan dan minuman Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd akan melabur sebanyak RM150 juta dalam bentuk fasiliti pengeluaran baharu menggunakan pakai teknologi pengeluaran generasi terkini secara automatik bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Pierre Pang berkata Mamee berupaya menggandakan pencapaian perniagaannya dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi kapasiti tambahan tersebut.

Beliau berkata syarikat tersebut mengambil masa selama 48 tahun untuk mencatatkan pendapatan sebanyak RM780 juta, malah Mamee berjaya menggandakan angka berkenaan hasil pertumbuhan pesat perniagaan eksport kami ke lebih 80 negara di seluruh dunia terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah sejak lima tahun lepas.

“Mamee melakukan urusan penghantaran hampir 300 kontena setiap bulan dari kilangnya di Malaysia. Sehubungan itu, menerusi sokongan kukuh daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Mamee dapat meningkatkan jumlah jualan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada program Ihya Ramadan dan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim pada Isnin.

Pang berkata Mamee berjaya di peringkat antarabangsa apabila membina perkongsian yang kukuh dengan syarikat-syarikat global di seluruh dunia, antaranya The Lotus Biscoff Group berpusat di Belgium, Shinsagae Foods berpangkalan di Korea serta perkongsian pemilikan perniagaan bersama The Good Crisps Company di Amerika Syarikat dan The Golden Duck, Singapura.

“Perkongsian tersebut membolehkan Mamee memperluaskan rangkaian snek halal ke seluruh dunia seterusnya menjadikan syarikat kami sebagai salah satu syarikat snek terbesar di dunia atau sekurang-kurangnya menjadi syarikat terbesar dalam segmen snek halal.

“Kami berterima kasih kepada MITI, MATRADE dan MIDA dan menghargai sumbangan mereka menjadikan Mamee sebuah syarikat snek global berkembang pesat dan inovatif, mempromosikan makanan halal buatan Malaysia.

“Peranan dan sumbangan MITI dalam pembangunan perniagaan syarikat Mamee sangat bernilai tinggi dan sangat signifikan,” katanya.

Menurutnya, MITI memainkan peranan utama dalam menentukan dasar dan pelan perniagaan negara dalam merancang, menggalakkan dan menyokong pertumbuhan sektor perniagaan tempatan seperti Mamee ke pasaran luar negara, ia memberi hasil positif kepadanya.

MATRADE pula mempromosikan dan memperluaskan pasaran eksport syarikat tempatan Malaysia terutamanya Mamee di global manakala MIDA memastikan kelancaran operasi dan memperkasakan perniagaan Mamee, kata Pang.

 Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal dan Hubungan Kerajaan Mamee, Ahmad Syukry Ibrahim berkata program Ihya Ramadan dan majlis berbuka puasa anjuran Mamee dengan kerjasama MITI itu bertujuan mendekati, meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim.

“Program ini membuktikan bahawa kami sebagai industri korporat berkerjasama dengan agensi kerajaan dan juga masyarakat untuk menyumbangkan sesuatu kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Mamee juga turut melancarkan Inisiatif ‘Junior monstar scholarship’ diberikan kepada kakitangan syarikat yang mempunyai anak-anak berpotensi untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

-- BERNAMA