Angkasa Sumbang 300 Pek Juadah Berbuka Puasa Kepada Petugas Bernama
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini menyumbangkan 300 pek juadah berbuka puasa kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini.
Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sumbangan itu merupakan yang ke-14 sejak 2010 bagi menceriakan petugas media yang tidak dapat pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang.
"Kita tahu sifat kerja rakan-rakan media ini, dia selalu bertugas hingga lewat malam, dia tak boleh balik awal untuk berbuka puasa, jadi mereka terpaksa berbuka puasa di pejabat.
"Sumbangan ini adalah untuk menggembirakan rakan-rakan media supaya mereka melihat bahawa ANGKASA berkongsi apa yang mereka rasa," katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Bernama atas pelaporan berita mengenai badan koperasi itu selama ini.
Beliau berkata sepanjang Ramadan ini, ANGKASA memperuntuk RM500,000 bagi sumbangan juadah berbuka puasa dan barangan keperluan asas kepada golongan B40.
"Kita dah belanjakan lebih daripada separuh jumlah peruntukan setakat ini dan ia adalah untuk membantu meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri akan datang," katanya.
Mengulas mengenai projek pembinaan rumah MyAngkasa Villa, Abdul Fattah berkata lebih 3,000 ahli ANGKASA berminat membina rumah sendiri melalui projek itu setakat ini.
"Kita akan menyediakan tiga model MyAngkasa Villa untuk dipilih oleh mereka yang mahu membina rumah di tanah mereka sendiri dan harganya antara RM50,000 hingga RM300,000," katanya.
Menyentuh perkembangan Konvensyen Koperasi Peringkat Negeri yang berlangsung sejak 27 Feb lepas, beliau berkata ia sudah dilaksanakan di tujuh negeri dan akan diteruskan di negeri lain selepas Aidilfitri.
Abdul Fattah berkata resolusi daripada konvensyen peringkat negeri itu akan dibawa kepada Kongres Koperasi Peringkat Kebangsaan pada Julai ini sempena Bulan Koperasi Kebangsaan.
Setakat 31 Dis 2023, ANGKASA memiliki seramai 7.3 juta ahli di seluruh negara.
--BERNAMA