Prubsn Rai Komuniti Menerusi Kempen Merayakan Alam, Melestarikan Kehidupan
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menerusi kempen ‘Merayakan Alam, Melestarikan Kehidupan’ melancarkan pelbagai inisiatif dalam menerapkan nilai-nilai kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam sambutan Ramadan dan Aidilfitri berteraskan konsep Ta’awun (kerjasama)
Ketua Pegawai Eksekutifnya an Saifulrizal Wan Ismail berkata buat pertama kali dalam sejarah lebih 700 sukarelawan terdiri daripada para petugas dan ejen PruBSN telah mengerah keringat untuk bersama komuniti setempat di seluruh negara.
“Sebanyak 12,000 pek bubur lambuk telah dimasak dan diedarkan oleh sukarelawan kepada beberapa lokasi terpilih termasuk masjid dan institusi pengajian tinggi.
“Selain itu, sukarelawan PruBSN juga turut turun padang membersihkan Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam, inisiatif ini sedikit sebanyak membantu pihak pengurusan masjid dan kubur untuk memberikan kemudahan dan persekitaran yang bersih dan selesa buat orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar PruBSN Bersama Rakan Media yang diadakan di VE Hotel & Residence di sini hari ini.
Mengenai kelestarian alam dan persekitaran bersih, beliau berkata pihaknya telah memberikan kelainan dalam menyampaikan mesej kelestarian dengan mengeluarkan sampul raya lestari eksklusif PruBSN direka khas menggunakan kertas yang diperakui Forest Stewardship Council (FSC).
“Sepanjang bulan Ramadan ini, PruBSN turut melancarkan kutipan dana melalui inisiatif One Donation, One Drive (ODOF) yang telah memasuki tahun kelima yang bertujuan mengumpul dana untuk memberi perlindungan takaful percuma kepada golongan yang berpendapatan rendah melalui program PruBSN Microtakaful Jariyah (MTJ).
“MTJ memberikan perlindungan takaful hayat secara percuma selama setahun bernilai RM10,000 bagi ketua isi rumah di bawah garis kemiskinan B40 yang layak. Setakat ini, PruBSN telah menaja sebanyak lebih 148,000 keluarga yang kurang bernasib baik melalui inistiatif tersebut sejak tahun 2018,” katanya.
Menurutnya, program MTJ berkenaan merupakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melalui maklumat yang diperolehi pihaknya mengesan golongan miskin dan miskin tegar dengan memberikan perlindungan takaful percuma kepada ketua isi rumah keluarga tersebut.
“Kita telah pun melaksanakan dan menyumbang perlindungan berkenaan pada bulan Mac lepas dan menganggarkan untuk memberi coverage kepada lebih 35,000 ketua keluarga tahun ini dan pelaksanaan itu akan dijalankan secara berperingkat.
“Selain itu, pada tahun ini kita juga akan melancarkan lagi produk baharu perlindungan perubatan dan dipercayai produk tersebut adalah yang pertama di pasaran,” katanya.
-- BERNAMA