Lzs Pantau 250 Ejen Kutipan Zakat

04/04/2024 10:02 AM

SHAH ALAM, 4 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memantau pengurusan operasi 250 ejen kutipan zakat di bawah agensi bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan terhadap kutipan wang zakat. 

Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan berkata berkata pihaknya sentiasa teliti dalam pemilihan ejen dengan beberapa kriteria ditetapkan di samping menubuhkan pasukan untuk melakukan pemantauan dari semua sudut termasuk pengoperasian, sasaran kutipan serta reputasi ejen zakat yang telah ditauliahkan. 

"Kita ada semakan berkala. Setiap tahun banyak kita keluarkan (ejen lama) dan gantikan dengan ejen baharu sebab ada kriteria yang perlu dipatuhi mereka bagi memenuhi keperluan LZS.

"Setakat ini memang kita tiada masalah (timbul isu penyelewangan wang zakat) dan (LZS) tidak teragak-agak menamatkan pentauliahan mereka sebagai ejen sekiranya berlaku perkara menyalahi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2024 di sini malam tadi.   

Menurut Ahmad Fadhil, penamatan sesuatu ejen disebabkan mereka tidak mencapai sasaran kutipan ditetapkan untuk tempoh tertentu malah perjumpaan turut diadakan secara berkala bagi membolehkan LZS mengetahui permasalahan diadapai ejen berkenaan.

Beliau berkata ejen juga perlu membantu menyebar luas dakwah zakat dan orang ramai boleh menhubungi LZS sekiranya terdapat keraguan terhadap ejen yang menyalahgunakan nama LZS.

-- BERNAMA