Ehh Group Santuni Penghuni Pertubuhan Baitul Sakinah As-shariff

04/04/2024 12:06 PM

KLANG, 3 April (Bernama) -- Syarikat pengeluar makanan tempatan EHH Group meraikan 24 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Baitul Sakinah As-Shariff, dalam majlis iftar yang dianjurkan sempena Ramadan di Telok Gong, di sini.

Eksekutif Korporat Komunikasi EHH Group Nismawaty Nurdin berkata majlis itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan setiap tahun, bagi mengeratkan hubungan baik antara syarikat itu dan komuniti setempat.

“EHH Group berharap dengan majlis iftar dan sumbangan yang disampaikan dapat menyuntik kegembiraan kepada anak-anak yang diraikan, dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama pada majlis itu semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, yang turut menyampaikan sumbangan duit dan baju raya.

Selain mengeratkan hubungan dan beramah mesra dengan anak yatim dan asnaf, Nismawaty berkata majlis seumpama itu juga dapat membangkitkan semangat keterujaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri sama seperti kanak-kanak lain.

-- BERNAMA