Pjr Aidilfitri Diadakan Di 302 Lokasi Seluruh Negara Bermula Semalam

05/04/2024 09:20 AM

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Program Jualan RAHMAH (PJR) Aidilfitri diadakan di 302 lokasi berjadual di seluruh negara bermula semalam hingga 9 April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata PJR Aildilfitri akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Selain penjualan barang-barang keperluan kering, PJR Aidilfitri akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain khusus bagi persiapan menyambut Aildilfitri seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas Agenda Payung RAHMAH MADANI melalui pelaksanaan PJR Aidilfitri bersempena dengan sambutan lebaran kali ini,” katanya.

Lokasi pelaksanaan PJR Aidilfitri adalah di Johor sebanyak 18 lokasi, Kedah (21), Kelantan (14), Kuala Lumpur (4), Melaka (13), Pahang (15) dan Perak (25).

Ia turut dilaksana di Perlis (3), Pulau Pinang (42), Sabah (29), Sarawak (45), Selangor (36), Terengganu (22), Negeri Sembilan (13) serta Putrajaya dan Labuan masing-masing dengan satu lokasi. 

Beliau berkata maklumat lanjut pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, Armizan berkata KPDN juga telah melaksanakan PJR Ramadan di 452 lokasi di seluruh negara bermula 12 Mac hingga 3 April lepas melepasi sasaran awal sebanyak 450 siri yang disasarkan.

“Inisiatif yang dicaknakan oleh KPDN ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“(Khususnya) bagi membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah terutamanya dalam membuat persiapan berbuka puasa pada bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA