Jualan Merosot, Penjaja Jalan Tar Akui Sukar Bersaing Dengan Platform E-dagang

05/04/2024 11:47 AM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Bazar Aidilfitri seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sememangnya menjadi lubuk rezeki bagi sebilangan penjaja kecil saban tahun, namun Ramadan kali ini, rata-rata mereka mengeluh jualan kurang memberangsangkan berbanding sebelum ini.

Peniaga baju Melayu dan samping, Aziz Muhammad, 43, memberitahu Bernama bahawa jualannya merudum hampir 60 peratus berbanding tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19.

Dia mengaitkan penurunan mendadak itu dengan pelbagai faktor antaranya musim perayaan yang jatuh selepas pembukaan penggal baharu persekolahan yang menyebabkan ibu bapa lebih bersederhana dalam berbelanja untuk Aidilfitri, selain kemunculan platform e-dagang seperti TikTok Shop.

"Tidak dinafikan kita berada dalam era penjualan secara dalam talian dan keadaan ini memang memberi kesan kepada peniaga bazar seperti kami. 

"Peniaga di TikTok dan platform dalam talian lain ada yang tidak perlukan pekerja atau sewa kedai jadi mereka boleh 'buang harga' maksudnya menjual pada harga yang jauh lebih murah," katanya kepada Bernama semasa tinjauan di Jalan TAR baru-baru ini.

Aziz berkata faktor itu juga membuatkan dia berhasrat untuk mencuba menjual baju Melayu dan samping secara dalam talian dalam masa terdekat.

"Walaupun kami sebenarnya lebih selesa kalau pelanggan datang sendiri untuk mencuba baju yang kami jual sebab kami jahit sendiri, tetapi kita perlu ikut peredaran masa juga," katanya.

Menurut Aziz, walaupun bazar Jalan TAR kelihatan sesak terutamanya pada waktu malam, ramai dalam kalangan pengunjung yang hanya datang untuk merasai suasana menjelang Aidilfitri atau ingin melihat-lihat sahaja.

Bagi peniaga tudung Wan Hayati Wan Jaffar, 56, kerajaan perlu mengambil langkah yang sesuai bagi melindungi peniaga dan penjaja kecil sepertinya yang sukar untuk bersaing dari segi harga jualan dengan peniaga dalam TikTok.

"Peniaga TikTok ambil untung RM1, RM2 janji dia dapat jual banyak. Peniaga kecil macam kami memang terjejas sebab tak dapat bersaing," katanya.

Wan Hayati yang sudah berniaga di Jalan TAR sejak lapan tahun lepas berkata jualannya kali ini merosot kita-kira 40 peratus berbanding sebelum ini.

Sementara itu, peniaga kerongsang dan aksesori, Hakimi Mahadzir, 34, berkata kemunculan platform jualan dalam talian seperti TikTok menjejaskan jualan penjaja dan peniaga kecil hampir 80 peratus berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Selain faktor kos perniagaan yang rendah, katanya peniaga di TikTok boleh menurunkan harga jualan kerana ada antara mereka yang hanya bertindak sebagai ejen promosi dan lebih mementingkan jumlah jualan.

"Mereka hanya ambil komisen daripada pembekal dari luar negara macam China dan barangan itu akan dihantar terus dari sana. Mereka kejar volume, lebih banyak jual lebih banyak komisen, sebab itu boleh jual murah," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui rata-ratanya mengakui harga jualan melalui TikTok jauh lebih murah berbanding di bazar Jalan TAR.

Pelajar Alesha Rizan, 20, dan Muhd Firdaus Shawal, 21, berkata mereka hanya membeli baju raya secara fizikal di bazar bagi memastikan saiz yang sesuai, manakala barangan lain dibeli melalui TikTok kerana harga yang lebih murah.

"Bagi saya untuk barangan biasa macam kemeja-T, seluar dan kasut lebih mudah beli di TikTok, jimat masa, tenaga dan duit. Hanya bayar kos penghantaran, tetapi sekarang pun ada banyak kupon penghantaran," kata Muhd Firdaus.

Bagi Nurhabibah Zainal Abidin, 33, dia membeli baju raya di TikTok kerana harga yang sangat murah dengan kualiti yang memuaskan.

"Saya beli baju raya RM30 di TikTok sebab bagi saya tidak perlu beli baju dengan harga mahal di bazar kalau boleh dapat yang lebih murah," katanya sambil menambah dia memilih untuk bersederhana bagi perayaan kali ini.

Ervina Anuar, 30, pula berkata selain mahu mengelakkan kesesakan di bazar, dia memilih untuk membeli baju raya menerusi TikTok kerana kekangan masa dan harga yang murah.

"Baju yang saya beli di TikTok asalnya berharga RM139, tetapi saya dapat membeli baju itu pada harga RM79 semasa promosi TikTok live. Semakin dekat hari raya, harganya berkurangan kepada RM69," katanya sambil menambah dia membeli kasut raya berharga RM16.

-- BERNAMA